
“Pergaduhan berlaku hampir setiap minggu. Biasanya jika bergaduh, hanya senjata tajam digunakan…tetapi sejak kebelakangan ini banyak kumpulan memiliki senjata api kerana harganya murah dan mudah didapati.
“Kebanyakan mereka mendapatkan senjata api dari Thailand yang diseludup melalui ‘jalan tikus’ dengan harga antara RM1,000 dan RM20,000 bergantung kepada jenis senjata,” katanya kepada Bernama.
Dino berkata, dia terpengaruh menyertai geng lima tahun lalu kerana tidak mempunyai pekerjaan tetap.
“Pada mulanya memang saya tidak berminat langsung untuk menyertai kumpulan ini…tetapi saya perlukan duit…lagipun ketika itu saya terpengaruh dengan sebuah filem tempatan menayangkan kehidupan kumpulan kongsi gelap,” katanya.
“Tugas saya mudah…mengugut dan memukul orang dan jenayah dadah…saya mendapat wang tunai beribu ringgit,” katanya.
Menurut lelaki berusia 32 tahun itu, ‘Fin’ adalah gelaran anggota kongsi gelap yang sanggup melakukan apa sahaja untuk geng mereka, termasuk membunuh dan boleh dikatakan semua kumpulan kongsi gelap mempunyai pembunuh mereka sendiri.
“‘Fin’ bererti penyudah atau pengakhiran dalam Latin dan itulah maksud mereka kepada mangsa.
“Mereka ini dianggap komando yang berani mati dalam menjalankan setiap arahan atau tugasan yang diterima,” katanya.
Dia juga percaya pembunuhan lelaki yang dikatakan adalah ketua geng ‘Satu Hati’ di hadapan pusat beli-belah Setapak Sentral di Danau Kota, Rabu lalu adalah perbuatan Fin.
“Memang tugas Fin menakutkan kumpulan lain yang mungkin mahu menceroboh kawasan geng mereka,” kata Dino.
Jelasnya, kawasan yang dikuasai geng dikenali sebagai ‘port’ dan kumpulan itu akan mengutip wang pelindungan serta menjalankan pelbagai aktiviti haram di kawasan terbabit.
“Pertempuran” berlaku ketika sebuah geng cuba merampas port kumpulan lain, tambah Dino yang kini bekerja sebagai ‘bouncer’ di kelab malam.