Ahli Parlimen Bayan Baru Sim Tze Tzin turut menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya melancarkan siasatan keatas kejadian itu, bagi menentukan samada rasuah terbabit dalam membenarkan pesawat haram melakukan penerbangan.
Katanya kejadian Suasa Airline terbang tanpa Permit Perkhidmatan Udara (ASP) dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Langkawi itu sangat mengejutkan dan membimbangkan.
“Apabila syarikat penerbangan menerbangkan pesawat tanpa permit menunjukkan ruang udara negara sudah dikompromi. Ini menunjukkan ada kelemahan dalam keselamatan lapangan terbang.
“Keselamatan lapangan terbang dan negara bukan sekadar memberkas penyeludup dadah dan pengganas, ia turut melibatkan keselamatan penerbangan dan kelancaran operasi penerbangan dan sebagainya, katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pengarah Strategi PKR itu menambah pesawat bukan seperti kenderaan pacuan empat roda di jalanraya dan lapangan terbang bukan seperti parkir kereta, maka sebuah pesawat tidak boleh dibandingkan kepada kereta yang dipandu tanpa lesen, melihat kepada perbezaan daripada saiz dan skala.
Ini kerana sebelum memulakan perkhidmatan dan penerbangan pertama, sesebuah syarikat penerbangan pasti perlu melepasi penelitian rapi dan kelulusan daripada pihak berkuasa.
“Kejadian Suasa Airlines melemahkan keyakinan rakyat terhadap keselamatan negara kita.”
