
Ketua Polis Kuala Lumpur, Fadil Marsus, berkata keputusan itu dibuat susulan risikan keselamatan dan maklum balas pihak terbabit, termasuk pemilik premis di sekitar lokasi tersebut.
“Polis menerima surat bantahan semalam daripada pemilik premis Kompleks Sogo, Pertama Kompleks dan Harissons serta premis berhampiran tentang kebimbangan terhadap keselamatan pelanggan yang hendak membeli-belah dalam masa itu.
“Maklumat bebas juga diperolehi tentang kemungkinan berlaku pecah keamanan dan ancaman keselamatan kepada masyarakat di lokasi perhimpunan yang dijangka dipenuhi orang ramai membeli-belah sempena sambutan perayaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Justeru, beliau menasihatkan orang ramai tidak menyertai perhimpunan itu dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak cuba mencetuskan kekacauan serta mengganggu gugat keselamatan awam di lokasi berkenaan.
“Polis akan memastikan keselamatan dan kesejahteraan awam diutamakan.”
Fadil berkata, pihaknya menerima surat pemakluman daripada penyelaras gerakan itu Selasa lalu bagi mengadakan perhimpunan berkenaan dan ketua polis Dang Wangi telah berbincang dengan penganjur kelmarin.