Shanjey Kumar Perumal melahirkan kekesalan dengan keputusan LPF itu, yang menurutnya bukti filem tempatan dianaktirikan.
“LPF selalu memberi alasan filem Malaysia memberi lebih banyak impak kepada penonton tempatan, tetapi benarkah?
“Kabali juga filem Malaysia, menggunakan kandungan tempatan dan melakukan penggambaran di sini (Malaysia),” katanya ketika dihubungi FMT.
“Jagat” mengisahkan hubungan watak bernama Shankar dengan bapanya serta pengaruh dua orang pakcik yang terlibat dalam jenayah.
Filem yang berlatar belakangkan Malaysia sekitar awal 90-an itu ditayangkan pada Festival Filem Asia New York, tetapi berdepan pelbagai cabaran sepanjang tayangannya di panggung wayang tempatan tahun lepas, termasuk dihadkan tayangan.
Rayuan penerbit filem supaya klasifikasi P18 diubah kepada P13, yang membolehkan lebih ramai menontonnya, juga ditolak LPF selepas Shanjey enggan mengubah beberapa elemen dalam filem itu
Ia bagaimanapun mendapat pujian pengulas seni, dan diangkat sebagai satu-satunya filem Tamil tempatan yang menceritakan realiti sebenar masyarakat India di negara ini.
Shanjey berkata apa yang berlalu tidak guna diungkitkan.
“Kebimbangan saya adalah nasib filem-filem tempatan akan datang,” ujarnya.
Beliau sebelum itu memuat naik rasa tidak puas hati kru di sebalik filem itu terhadap layanan berbeza LPF terhadap Jagat dan Kabali.
“Melihat Kabali, di mana setiap plot dan isu-isu yang hampir sama seperti yang digambarkan dalam Jagat, memperoleh klasifikasi P13, kami tidak dapat mengawal diri tetapi mempersoal tentangnya, jika Jagat lebih ‘berdarah’ atau ‘ganas’ atau ‘ngeri’ berbanding Kabali? Hampir tiada penggunaan senjata seperti pistol dan parang di Jagat kecuali dalam dua adegan,” katanya.
Pengarah LPF Datuk Abdul Halim Abdul Hamid sebelum ini dilaporkan berkata filem Kabali dilabel P13 bagi membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia menontonnya.
Shanjey berkata filem Jagat asalnya dicadang dalam bentuk enam siri bertujuan mempersembahkan dengan lebih mendalam “kebenaran sebenar di Malaysia”.
“Namun idea itu digugurkan selepas kami sedar perkara itu tidak boleh dilakukan di sini,” tambahnya.