
Ketua Penerangan, Shamellya Norazizi, turut mendakwa usul menaikkan had usia keahlian sayap itu kepada 40 tahun dibawa Ketua Puteri Umno, Nurul Amal Mohd Fauzi Khamis lalu tidak dipandang serius.

“Apatah lagi kuota 30% wanita itu. Sabar sungguh Puteri Umno ini, bawa usul bertahun tahun tapi ‘takde’ satu pun titik noktah. Nak suruh Puteri buat kerja, kerja pun dah dibuat.
“Puteri tetap setia sampai ke akhirnya. Tapi bila Puteri nak kata putus usul kami sahaja, sama ada ‘yes’ or ‘no’, pun diam seribu bahasa,” katanya di Facebook.
Nurul Amal mencadangkan had usia keahlian sayap itu dinaikkan kepada 40 tahun bagi menjamin kesinambungan kepimpinan dan kelangsungan perjuangan parti.
Beliau berkata, cadangan itu bukan bersifat emosi atau sementara, sebaliknya keperluan strategik untuk memastikan bakat yang dilatih dalam Puteri Umno tidak terpinggir apabila melepasi had usia sedia ada.
Selain itu, Nurul Amal juga mendesak 30% calon wanita diketengahkan termasuk daripada sayap itu menjelang pilihan raya akan datang.
Katanya, penglibatan wanita tidak boleh terus kekal sebagai slogan, sebaliknya perlu dibuktikan melalui peranan dan tanggungjawab yang bermakna dalam parti.
Sementara itu, Shamellya turut membidas tindakan yang didakwa merendahkan Puteri Umno pada perhimpunan tersebut.
“Belum lagi kira laungan di dewan keramat yang merendahkan martabat Puteri secara langsung tanpa rasa bersalah. Ingatkan ada manisnya di penghujung, dapatlah sikit mengubat hati yang lara.
“Selama tiga tahun berusaha memperkasa Puteri, pemangkin perubahan, tetapi semudah ini usaha itu dilekehkan tanpa ada satu jawapan,” katanya tanpa mengulas lanjut.
Namun, ia dipercayai merujuk kepada gesaan supaya perwakilan Melaka menarik balik kenyataan melabelkan ahli Puteri Umno sebagai ‘gedik’.
Kenyataan itu dibuat perwakilan Melaka Mustafa Musa ketika perbahasan ucapan dasar presiden dalam bentuk pantun.
Mustafa berkata ‘kalau Pemuda tidak nakal, kalau Puteri tidak getik (gedik), kalau Wanita tidak bersembang, kalau Umno tidak memekik, maka mandul demokrasi’.