Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata, wanita berumur 40 tahun itu telah memperoleh sebahagian hasil rompakan di JPJ Wangsa Maju.
“Polis berjaya merampas sebahagian wang rompakan berjumlah RM111,400.00 dan barang kemas bernilai RM5,256.00 daripada suspek yang ditangkap,” ujarnya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, hari ini.
Katanya, polis juga mengenalpasti dua suspek utama dan usaha sedang giat dijalankan bagi mengesan dan memberkas mereka yang terlibat.
Polis Kuala Lumpur menubuhkan pasukan siasatan khas dengan dibantu oleh Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.
“Buat masa ini, sembilan tangkapan membabitkan seorang perempuan India, seorang perempuan Melayu, seorang lelaki India, seorang lelaki keturunan Indonesia dan lima orang lelaki Melayu dibuat.
“Kesemua yang ditangkap berusia dalam lingkungan 24 hingga 67 tahun dan dalam tahanan reman sehingga 22 Julai ini,” ujarnya.
Kejadian rompakan itu berlaku semasa anggota JPJ dalam proses pengiraan wang hasil pendapatan harian. Kejadian samun ini dilakukan oleh dua suspek yang memakai helmet berpenutup muka dan bersenjatakan sebilah parang.
Wang tunai berjumlah RM754,840.30 dan empat keping cek bernilai RM444,003.00 telah dilesapkan dalam rompakan itu.
Pautan: Anggota Rela wanita ditahan disyaki subahat rompak JPJ
