
Chia Kong Wee, yang didakwa di bawah Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, mengaku melepaskan dua das tembakan di sebuah bank di Glenmarie pada 3 Jun 2019.
Pengakuan bersalah itu direkodkan semasa pengurusan kes hari ini.
Menurut fakta kes, Chia memantau keadaan di bank tersebut sebelum melakukan rompakan pada hari kejadian.
Dia memasuki bank kira-kira jam 3.50 petang dengan memakai topeng dan mengacukan senjata api ke arah seorang pengawal keselamatan sebelum melepaskan tembakan pertama ke arah siling.
Chia kemudian mengarahkan pelanggan supaya meniarap di lantai dan menuntut pegawai bertugas menyerahkan semua wang yang berada dalam jagaan mereka.
Dia kemudiannya melepaskan tembakan kedua, juga ke arah siling.
Pegawai bank yang bimbang akan nyawa mereka, menyerahkan RM61,000 kepada Chia, manakala RM76,220 diambil dari bilik wang tunai bank tersebut. Mereka memaklumkan polis mengenai rompakan itu selepas Chia melarikan diri.
Pada 3 Mac 2022, tiga tahun selepas kejadian, polis menerima maklumat dan mengekori sebuah kenderaan hitam yang menuju ke sebuah bank.
Polis menahan Chia ketika dia keluar dari kenderaan tersebut dan merampas sepucuk pistol Walther P99 yang berisi lapan butir peluru, selain satu kelopak peluru kosong yang ditemui di dalam kenderaan.
Polis turut menemui jaket hitam dan hijau yang dipakai Chia semasa rompakan beberapa tahun sebelum itu.
Pesuruhjaya Kehakiman Suriyati Hasimah Mohd Hashim menetapkan 11 Feb untuk jatuh hukum.