Pengerusi Jawatankuasa Usul, Nasrudin Hassan Tantawi berkata, usul sayap Dewan Muslimat itu dibawa terus kepada Majlis Syura Ulama memandangkan ia diluluskan tanpa bahas.
Katanya, segala keputusan berhubung kedudukan PKR dengan parti Islam itu akan diumumkan Majlis Syura Ulama kelak.
“Usul tersebut daripada PAS kawasan Pontian, Balik Pulau, Kuala Kedah dan Muslimat PAS Malaysia. Jika masih ada keuntungan (boleh) diteruskan dan jika tiada Majlis Syura Ulama berhak membuat apa saja keputusan.
“Usul tersebut meminta tahaluf siyasi antara PAS dan PKR dinilai semula atas beberapa perkara berbangkit (termasuk) apakah masih ada keuntungan kepada Islam yang diperjuangkan oleh PAS atau sebaliknya,” katanya ketika menyampaikan taklimat usul pada Muktamar Tahunan PAS ke-62 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK) malam tadi.
Kelmarin, Dewan Muslimat PAS menerima usul mendesak parti Islam itu mengkaji semula hubungan tahaluf siyasi dengan PKR, terutama pada pilihan raya umum akan datang.
Usul yang dikemukakan Dewan Muslimat PAS Kedah itu antara lain menyebut PKR dilihat seolah-olah tidak menghormati parti Islam itu dengan menjalin kerjasama dengan AMANAH yang kerap melemparkan pelbagai dakwaan terhadap PAS.
Semalam, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, perkara tersebut belum diputuskan lagi kerana ia memerlukan penelitian secara menyeluruh memandangkan ia datang daripada sayap Dewan Muslimat PAS.
Sementara itu, perwakilan yang sempat ditemui FMT mempunyai pandangan berbeza berhubung usul itu.
Perwakilan dari Maran, Hasnan Harun berkata, PAS perlu memberi peluang kepada perwakilan untuk membahaskan isu tersebut dalam muktamar.
“Kalau boleh berdebat lebih baik, kalau tidak saya faham ini isu sensitif sebab setiap perwakilan mereka ada yang beremosi, tetapi kita yakin Majlis Syura akan buat keputusan terbaik,” katanya.
Suhaimi Harun yang merupakan perwakilan dari Jasin pula berpendapat, perwakilan seharusnya diberi peluang untuk membahaskan isu tahaluf siyasi tersebut kerana ia boleh disifatkan isu serius.
Berbeza pula dengan Mohd Ghazali Mohd Zain, perwakilan dari Kubang Pasu yang mengambil pendirian menyokong penuh usul dibawakan Dewan Muslimat PAS itu, walaupun ia diluluskan tanpa bahas.
“Saya setuju sebab Majlis Syura akan membuat keputusan mengikut prinsip perjuangan,” katanya kepada FMT.
Terdahulu, Nasrudin dalam ucapannya berkata, muktamar kali ini menerima 20 usul daripada PAS kawasan dan sayap-sayap yang merangkumi usul diluluskan tanpa bahas dan berbahas.