3 bekas Adun Perlis mohon sertai PAS semula

3 bekas Adun Perlis mohon sertai PAS semula

Ahli Majlis Syura Ulama PAS Ahmad Yahaya berkata permohonan itu akan diserahkan kepada setiausaha agung parti untuk pertimbangan PAS Pusat.

3 Adun Perlis tergugur jawatan
PAS menghentikan serta-merta keahlian Adun Chuping Saad Seman, Adun Bintong Fakhrul Anwar Ismail dan Adun Guar Sanji Mohd Ridzuan Hashim pada 24 Dis lalu kerana menarik sokongan kepada menteri besar ketika itu Shukri Ramli. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Majlis Syura Ulama PAS menerima permohonan tiga bekas Adunnya di Perlis yang ditamatkan keahlian lebih sebulan lalu, menyertai parti itu semula.

Perkara itu dimaklumkan Ahli Majlis Syura Ulama PAS, Ahmad Yahaya dalam catatan Facebooknya hari ini.

“Majlis Syura Ulama menolak daripada membuat keputusan atas nama rayuan sebab ia bukan dalam bidang kuasanya,” katanya yang juga ketua Dewan Ulama PAS.

“(Kami) menerima borang permohonan ahli baharu PAS daripada tiga mantan Adun tersebut dan diserah kepada setiausaha agung PAS untuk pertimbangan PAS Pusat.”

PAS menghentikan serta-merta keahlian Adun Chuping, Saad Seman; Adun Bintong, Fakhrul Anwar Ismail dan Adun Guar Sanji, Mohd Ridzuan Hashim pada 24 Dis lalu kerana bersama lima wakil rakyat Bersatu menandatangani akuan berkanun menarik sokongan kepada menteri besar ketika itu, Shukri Ramli.

Sementara itu, Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin, berkata Majlis Syura Ulama dalam mesyuarat 27 Jan lalu menerima permohonan tiga bekas Adun itu, yang akan diserahkan kepada PAS Pusat untuk dimuktamadkan.

“Kita Majlis Syura Ulama terima permohonan mereka dan apa keputusan kita buat ialah proses, tidak ada sebarang pertembungan (dengan pendirian PAS Pusat), itu adalah proses,” katanya ketika dihubungi FMT.

Pada 25 Jan lalu, Pengerusi Lajnah Undang-undang dan Hak Asasi Manusia PAS Pusat, Wan Rohimi Wan Daud dilaporkan berkata, tiga Adun itu tidak dipecat melalui proses tatatertib, tetapi status keahlian mereka terhenti mengikut peruntukan Perlembagaan parti.

Justeru, katanya, status mereka muktamad dan tidak boleh dirayu semula.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.