Richard Huckle, 30, mengambil gambar dan video dia mendera kanak-kanak terbabit sebelum memuat naik ke sebuah laman web yang sukar diakses dalam Internet dan kerap digunakan untuk kegiatan haram.
Penyiasat menemui lebih 20,000 imej lucah dalam komputernya, selain catatan mengenai serangan yang dilakukannya serta sebuah buku panduan yang ditulisnya bertajuk “Pedofil dan Kemiskinan: Panduan Pengemar Kanak-kanak”.
Butiran grafik berdozen-dozen kesalahan seksual Richard muncul buat julung kalinya ketika sesi pendengaran hukuman bermula di London semalam.
Richard berdepan 91 pertuduhan, termasuk serangan seksual ke atas 23 kanak-kanak di Kuala Lumpur di mana dia menjadi guru bahasa Inggeris.
Mangsanya berusia enam bulan hingga 12 tahun dengan ada di kalangan mereka yang berasal daripada keluarga beragama Kristian yang miskin dan kesalahan-kesalahan itu dilakukan pada 2006 hingga 2014.
Timbalan Pendakwa Raya, Brian O’Neill berkata, penderaan itu sering membabitkan rakaman gambar kanak-kanak yang akan dimuat naik ke Internet.
“Imej penderaan kanak-kanak itu pasti sudah dikongsi bersama pedofil-pedofil lain dan menjadi subjek yang tidak dapat dikawal penyebarannya di seluruh dunia,” katanya.
Richard ditahan di Lapangan Terbang Gatwick, London pada Disember 2014 setibanya dari Malaysia untuk meraikan sambutan Krismas di Britain.
Tertuduh pada awalnya menafikan semua 91 pertuduhan, sebelum mengaku bersalah terhadap 71 daripada pertuduhan itu dalam satu siri perbicaraan, termasuk 14 dakwaan rogol dan 31 serangan seksual.
Hakim, Peter Rook sedang mempertimbangkan hukuman penjara seumur hidup ke atas tertuduh.
Richard yang berasal dari Ashford di tenggara England hadir di Mahkamah Jenayah Pusat London yang juga dikenali sebagai Old Bailey untuk penghakiman atau hukuman yang dijangka berakhir esok.
Laporan mengenai kes itu adalah terhad sehingga kini kerana penyiasat mahu memastikan kanak-kanak terbabit menjadi mangsa kepada pedofil lain dalam talian.
– AFP
