
Tertuduh, Mohd Khairi Fitri Baharom, 38, yang juga warden asrama pusat berkenaan mengaku bersalah terhadap semua pertuduhan di hadapan Hakim Surita Budin.
Mengikut enam pertuduhan, tertuduh melakukan persetubuhan luar tabii terhadap lima kanak-kanak yang ketika kejadian berusia sembilan hingga 12 tahun.
Menurut Sinar Harian, tertuduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 377C Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen sama yang memperuntukkan penjara minimum lima tahun dan tidak lebih 20 tahun dan sebat.
Mengikut enam lagi pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas enam kanak-kanak berusia sembilan hingga 12 tahun.
Justeru, tertuduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah seksyen sama. Jika disabit, tertuduh boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan sebat.
Semua perbuatan itu dilakukan di pusat pengajian berkenaan di Batu Kikir, Jempol, dan di sebuah rumah di Kampung Rembang Panas, Kuala Pilah dari Mac 2024 hingga Januari lalu.
Hakim turut mengarahkan tertuduh menjalani kaunseling pemulihan dan pengawasan polis selama setahun selepas selesai menjalani hukuman penjara yang bermula dari tarikh tangkap pada 25 Mei lalu.
Terdahulu, peguam Ahmad Loqman Hakim Ahmad Khairie dalam rayuan memaklumkan, anak guamnya masih bujang serta menanggung ibu yang uzur dan memohon hukuman berbentuk penjara yang minimum.
Timbalan Pendakwa Raya Norazihah Asmuni dan Nurul Balkis Zunaidi memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal memandangkan jenayah dilakukan adalah serius.
Menurutnya, tertuduh yang diberi amanah sebagai guru dan warden sepatutnya melindungi pelajarnya, namun mengambil kesempatan melakukan jenayah jijik.