
Pesuruhjaya Kehakiman Faridz Gohim Abdullah membuat keputusan itu selepas menolak rayuan lelaki berusia 35 tahun untuk mengetepikan sabitan dan hukuman diputuskan Mahkamah Sesyen pada 21 Okt 2022, lapor Berita Harian.
Mahkamah Sesyen sebelum ini memutuskan guru itu bersalah atas enam tuduhan dan menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun untuk setiap tuduhan serta 24 sebatan.
Hari ini Mahkamah Tinggi mengarahkan hukuman itu berjalan serentak dan hukuman sebat dikekalkan.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang dibaca bersama Seksyen 16 akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.
Menurut fakta kes, tertuduh melakukan perbuatan itu terhadap mangsa berusia antara 14 hingga 16 tahun di kawasan sekolah tempatnya mengajar.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu antara 11.30 malam hingga 4 pagi pada Mac, April dan Mei 2018.
Laporan polis dibuat oleh semua mangsa selepas kejadian dan siasatan mendapati beberapa daripada mereka diserang lebih dari sekali.