
Tertuduh, Airil Iswan Mat Shamsuri, 38, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Jean Sharmila Jesudason.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas mangsa yang ketika kejadian berusia 17 tahun.
Perbuatan itu dilakukan bapa kepada dua anak itu di sebuah rumah di Gerbang Meru Indah pada 10.30 malam, 13 Sept 2024 dan awal pagi 14 Sept 2024.
Tertuduh juga didakwa melakukan kesalahan sama dengan menyentuh mangsa bagi maksud seksual ketika berada di dalam bilik warden, di sebuah sekolah menengah di Ipoh, pada awal pagi 27 Sept 2024, lapor Kosmo.
Semua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017, memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dihukum sebat, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Nur Amalina Harun, manakala tertuduh diwakili Baldip Singh.
Terdahulu, Siti Nur Amalina tidak menawarkan jaminan kepada tertuduh, namun sekiranya dibenarkan mahkamah, jumlah jaminan yang dicadangkan sebanyak RM40,000 selain syarat tambahan tidak dibenarkan mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.
Mahkamah membenarkan ikat jamin RM15,000 bersama syarat tambahan tertuduh melapor diri di balai polis setiap bulan dan tidak mengganggu mangsa serta saksi sehingga kes selesai, selain menetapkan 24 Okt sebutan semula kes.