Tindakan pemimpin bukan Islam bantah hudud biadap

Tindakan pemimpin bukan Islam bantah hudud biadap

RUU tersebut hanya dikuatkuasakan terhadap penganut agama Islam dan langsung tidak melibatkan hak serta kepentingan golongan bukan Islam.

zamihan

PETALING JAYA:
Tindakan pemimpin-pemimpin daripada parti bukan Islam membantah Rang Undang-undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 disifatkan sebagai biadap.

Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (ASWAJA), Zamihan Mat Zin al-Ghari berkata, RUU tersebut hanya dikuatkuasakan terhadap penganut agama Islam dan langsung tidak menyentuh hak serta kepentingan golongan bukan Islam.

“Tiada alasan dan keperluan untuk parti bukan Islam membantah RUU berkenaan. Adalah menjadi harapan kami agar parti bukan Islam tidak mencampuri urusan dan hak umat Islam demi keharmonian beragama di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zamihan berkata demikian sebagai mengulas ugutan beberapa pemimpin dalam parti komponen BN yang mahu meletak jawatan dalam Kabinet sekiranya RUU hudud itu diluluskan Dewan Rakyat.

Antara pemimpin terbabit adalah Presiden MIC, Datuk Seri Dr S Subramaniam; Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai; Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong dan Presiden GERAKAN, Datuk Seri Mah Siew Keong.

Menurut Zamihan lagi, pindaan RUU itu langsung tidak membawa sebarang masalah dan kemudaratan kepada masyarakat negara ini.

“Malah, pindaannya adalah selaras usaha memartabatkan Mahkamah Syariah dan kedudukan Islam di Malaysia sebagai agama Persekutuan,” jelasnya.

Menurutnya, kerjasama di antara PAS dan UMNO itu merupakan lembaran baru dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak wajar diberikan penghargaan kerana meletakkan Islam melangkaui keutamaan politik kepartian.

“Menjadi kewajipan bagi ahli Parlimen beragama Islam di Dewan Rakyat untuk menyokong RUU berkenaan meskipun ia dibawa oleh pemimpin parti pembangkang demi kebaikan Islam dan umatnya.

“Tiada alasan untuk ahli Parlimen beragama Islam menolaknya. Semua pemimpin pasti dipertanggungjawabkan di hadapan Allah kelak,” katanya.

Khamis lalu, RUU itu yang dibawakan Hadi diusulkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said sebelum disokong Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.