
Merujuk Umno yang sebelum ini membantah RUU tersebut, Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin berkata, beliau mahu tahu sama ada parti itu masih komited dengan pendirian awalnya atau sudah berubah fikiran.
“Dalam ucapan saya pada Selasa, saya ada persoalkan bahawa rakan-rakan saya dalam Umno dulu mengatakan mereka tak setuju dengan RUU ini, sebab itu mereka mahu kerajaan tarik balik.
“Tetapi hari ini saya nampak seolah-olah RUU ini akan akan dibawa semula,” katanya pada sidang media di bangunan Parlimen.
Hamzah berkata demikian sebagai respons terhadap pengumuman Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming awal minggu ini yang menyatakan kerajaan bersedia membentangkan semula RUU tersebut untuk bacaan kedua di Dewan Rakyat.
Dalam pengumumannya, Nga menegaskan Akta PSB amat diperlukan untuk menangani masalah yang dihadapi penduduk yang tinggal di bangunan yang usang dan tidak selamat.
Dalam pada itu, Hamzah berkata, PN akan menganjurkan sesi dialog awam bersama NGO, wakil empat negeri yang diperintah PN dan pihak berkepentingan lain untuk mengukuhkan pendirian mereka tentang RUU tersebut.
Bacaan kali kedua RUU yang bertujuan menggantikan perundangan dan peraturan lapuk yang mengawal pembangunan semula kawasan bandar itu pada asalnya dijadualkan pada 28 Ogos. Bagaimanapun, ia ditangguhkan susulan bantahan serta kebimbangan yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan PKR, terutamanya berkaitan ambang persetujuan bagi pembangunan semula.
Pengkritik RUU berkata, ambang persetujuan yang diturunkan boleh menjejaskan hak penduduk minoriti dengan memaksa mereka akur dengan keputusan majoriti penduduk yang mahu kawasan mereka dibangunkan semula.
Pada Ogos tahun lepas, ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Puad Zarkashi menggesa Nga menangguhkan pembentangan RUU itu, atau berisiko mencemarkan imej kerajaan sekiranya ia ditolak di Dewan Rakyat.
Pengerusi BN Zahid Hamidi turut menegaskan keperluan memperluas rundingan dengan kerajaan negeri, penduduk setempat dan pakar perancangan bandar sebelum RUU itu dibentangkan semula.