MIROS setuju kurangkan guna motorsikal untuk bersiar

MIROS setuju kurangkan guna motorsikal untuk bersiar

"Jika kita tidak boleh hapuskan risiko, lebih baik kita mengawalnya", kata Prof Dr Wong Shau Voon.

Wong-Shaw-Voon_Abd-Ghafar-Yusof_motor_600

PETALING JAYA:
Ketua Pengarah Institut Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Prof Dr Wong Shau Voon berkata, masyarakat perlu memandang serius dan tidak boleh bersikap sambil lewa ketika memandu kenderaan di jalan raya.

Katanya, sikap tersebut mampu mengurangkan risiko kemalangan yang memang sentiasa wujud di jalan raya.

Beliau mengulas gesaan Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Abd Ghafar Yusof agar orang ramai mengurangkan penggunaan motosikal untuk bersiar-siar, sebaliknya menggunakannya ketika perlu dan terdesak sahaja.

Mengulas gesaan itu, Wong berkata cadangan itu sememangnya munasabah memandangkan risiko kemalangan motosikal akan terhapus sama sekali jika ia tidak digunakan.

“Saya faham apa yang ingin disampaikan. Tetapi pada zaman sekarang bagaimana untuk tidak gunakan jalan raya. Nanti ada yang akan persoal sudah tidak boleh guna motosikal?

“Jika kita tidak boleh hapuskan risiko, lebih baik kita mengawalnya. Justeru konsep yang penting adalah untuk memandang penggunaan jalan raya adalah perkara yang serius dan bukannya hal yang ringan,” katanya ketika dihubungi FMT.

Memetik laporan BERNAMA, Abd Ghafar berkata 62 peratus daripada 6,706 kes kemalangan maut yang berlaku pada tahun lepas membabitkan motosikal.

Abd Ghafar turut berkata pengurangan penggunaan motosikal sebanyak 10 peratus akan mampu mengurangkan 400 kehilangan nyawa setahun.

Wong turut berkata, berbanding bersiar-siar dengan menunggang motosikal, masyarakat disaran untuk menggantikan kegiatan itu dengan beriadah atau terlibat dengan kerja komuniti.

“Bakar minyak pun tidak baik untuk alam sekitar, lebih baik bakar lemak,” katanya lagi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.