
Kemalangan ngeri yang meragut 15 nyawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Lebuhraya Timur-Barat bukan sekadar satu tragedi. Ia menjadi titik hitam yang menyedarkan negara bahawa kecuaian sistemik dalam aspek keselamatan jalan raya, khususnya melibatkan kenderaan berat, tidak lagi boleh dipandang ringan.
Isu ini bukan baharu, tetapi selama ini terlalu banyak ‘penangguhan’ dan kebergantungan kepada reaksi selepas tragedi berlaku. Tragedi ini mengangkat semula satu persoalan penting, apakah tindakan konkrit yang mampu menyelamatkan nyawa?
Baru-baru ini, Kementerian Pengangkutan Malaysia mengumumkan pelaksanaan mandatori penggunaan peranti pengehad kelajuan atau Speed Limiter Device (SLD) bagi semua kenderaan berat melebihi 3,500kg termasuk bas ekspres dan lori komersial. Inisiatif ini akan dikuatkuasakan secara rasmi mulai 1 Oktober 2025.
Dikatakan bahawa penggunaan SLD secara global berjaya mengurangkan kadar kemalangan maut dan kemalangan melibatkan kenderaan muatan berat. Apakah benar dakwaan bahawa ia memang berjaya di peringkat global?
Beberapa negara maju membuktikan bahawa penggunaan teknologi pengehad kelajuan mampu mengurangkan kadar kemalangan secara drastik. Jepun dan Korea Selatan, misalnya, memperkenalkan SLD sejak bertahun-tahun dahulu dan melihat hasil yang ketara dalam tempoh satu dekad.
Di Jepun, kadar kemalangan melibatkan lori besar di lebuh raya menurun daripada 4,037 kes (purata tahunan antara 2003–2007) kepada hanya 1,927 kes pada tahun 2022. Ini merupakan penurunan lebih 50% dalam tempoh 15 tahun. Antara faktor kejayaan mereka ialah:
- Penggunaan SLD secara meluas
- Sistem pemantauan GPS yang bersepadu
- Had kelajuan maksimum 90 km/j bagi kenderaan berat
- Latihan keselamatan pemandu berterusan
Korea Selatan pula menggabungkan pengehad kelajuan dengan perakam data elektronik (Electronic Data Recorder – EDR) yang merekod tingkah laku pemandu, seperti kelajuan, brek mendadak, dan perubahan lorong. Menurut Korea Transportation Safety Authority, pendekatan ini berjaya mengurangkan kemalangan melibatkan kenderaan berat sebanyak hampir 20% dalam tempoh hanya beberapa tahun.
Di benua Eropah, dasar berkaitan keselamatan jalan raya sentiasa menjadi keutamaan. United Kingdom, misalnya, mewajibkan pengehad kelajuan untuk lori artikulasi sejak 1993. Hasilnya, kadar kemalangan yang melibatkan lori menurun sebanyak 26% dalam tempoh 12 tahun, iaitu daripada 40 kes kepada 30 kes bagi setiap 100 juta km perjalanan.
Lebih menarik, statistik juga menunjukkan bahawa bilangan pemandu lori yang memandu melebihi had kelajuan jatuh dari 60% kepada hanya 6%, selepas pelaksanaan dan penguatkuasaan ketat pengehad kelajuan.
Bukan itu sahaja, Kesatuan Eropah (EU) kini memperkenalkan teknologi yang lebih canggih, iaitu Intelligent Speed Assistance (ISA) yang membolehkan sistem memantau dan mengawal kelajuan kenderaan secara automatik berdasarkan had kelajuan yang ditetapkan di kawasan tertentu.
Menurut European Transport Safety Council (ETSC), sistem ISA boleh mengurangkan kadar kematian jalan raya sehingga 37%. Sementara itu, model kajian PROSPER yang dijalankan oleh Suruhanjaya Eropah mengunjurkan pengurangan antara 19% hingga 50% dalam kes kematian jika ISA digunakan secara menyeluruh di seluruh negara anggota.
Ramai mungkin menganggap pemasangan SLD akan meningkatkan kos operasi syarikat. Namun, persoalannya, berapa nilai nyawa manusia? Kos pemasangan teknologi ini kecil jika dibandingkan dengan penderitaan keluarga mangsa, trauma pemandu, dan kerugian ekonomi akibat kemalangan maut.
Jika Jepun, Korea Selatan dan negara-negara Eropah mampu menunjukkan bahawa ribuan nyawa boleh diselamatkan melalui penggunaan teknologi dan penguatkuasaan yang konsisten, tiada sebab Malaysia tidak boleh mengikuti jejak langkah yang sama. Lebih penting lagi, kita harus berani menolak budaya ‘tunggu tragedi’ sebelum bertindak.
SLD bukanlah ubat ajaib yang menyelesaikan semua masalah jalan raya, tetapi ia satu langkah penting ke arah mewujudkan sistem pengangkutan yang lebih selamat, lebih berdisiplin dan lebih bertanggungjawab.
A Zahid adalah pembaca FMT.
Artikel ini ialah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.