
Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Fouzi Singon, berkata bahasa Mandarin dan Jepun mungkin boleh ditambah dalam menarik minat ibu bapa menghantar anak ke sekolah kebangsaan.

Katanya, bagaimanapun perancangan rapi mesti dibuat antaranya Kementerian Pendidikan (KPM) perlu menyediakan guru mencukupi bagi mengajar bahasa itu, sebelum ambilan murid baharu.
“Bahasa Mandarin dan Jepun antara mempunyai nilai komersial untuk menarik minat pelajar belajar di sekolah kebangsaan,” katanya kepada FMT
Selasa lalu dilaporkan, kajian terkini ISEAS-Yusof Ishak Institute mendapati semakin ramai ibu bapa Melayu memilih menghantar anak ke Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) kerana reputasi tinggi akademik sekolah itu.
Berdasarkan tinjauan khas dalam aplikasi melibatkan 929 responden — kebanyakannya daripada keluarga Melayu kelas pertengahan — kajian itu mendapati 69% responden menyatakan prestasi akademik sebagai sebab utama memilih SJKC.
James Chai, yang merupakan penulis laporan itu berkata walaupun SJKC hanya menawarkan kemudahan asas, dua pertiga ibu bapa masih lebih memilih sekolah tersebut berbanding sekolah kebangsaan.
Sementara itu, Fouzi berkata tidak adil menyatakan sekolah kebangsaan kurang menjadi pilihan kerana ia juga mempunyai kualiti dan terbukti melahirkan ilmuan serta negarawan yang menyumbang kepada pembangunan negara.
“SJKC mungkin pilihan ibu bapa yang mahukan anak mereka berupaya berbahasa Mandarin untuk kerjaya masa depan.
“Ada yang terpaksa hantar kerana hanya sekolah tersebut berhampiran rumah atau ingin anak mereka mula bergaul secara harmoni dengan bangsa lain bagi mempelajari budaya serta cara laku bangsa tersebut.
“Sebenarnya, jika ada sekolah aliran Inggeris, mungkin pelajar Cina dan India serta Melayu juga berebut untuk belajar di sana,” katanya.
Katanya, KPM perlu serius melihat isu itu supaya sekolah kebangsaan menjadi teras dan pilihan utama rakyat.

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Mohamad Ali Hasan, setuju faktor reputasi dan pencapaian akademik menarik ibu bapa menghantar anak ke SJKC.
Katanya, faktor lain adalah pengiktirafan swasta yang memberikan ‘aset terbaik’ kepada pelajar SJKC selain kepadatan kelas di sekolah kebangsaan.
“KPM tidak seharusnya membiarkan suasana itu berterusan dan perlu memperkasakan sekolah kebangsaan segera,” katanya berharap bahasa Ibunda seperti Mandarin dan Tamil ditambah di sekolah kebangsaan.