Pemandu rempuh motosikal bukan pemilik sah kenderaan, kata polis

Pemandu rempuh motosikal bukan pemilik sah kenderaan, kata polis

Permohonan sambung reman terhadap suspek berusia 32 tahun itu akan dibuat hari ini selepas tamatnya tempoh reman dua hari.

kemalangan plaza tol duta
Dalam video tular, sebuah kenderaan jenis Nissan Navara dipandu seorang lelaki merempuh motosikal jenis Benelli TRK 502 ditunggang pasangan suami isteri hingga tercampak ke bahu jalan.
KUALA LUMPUR:
Hasil siasatan awal polis mendapati lelaki yang ditahan kerana disyaki memandu secara berbahaya hingga menyebabkan kemalangan berhampiran Plaza Tol Jalan Duta di sini pada Sabtu lepas, bukan pemilik sebenar kenderaan pacuan empat roda terlibat.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Mohd Zamzuri Mohd Isa dalam kenyataan ringkas, berkata siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau berkata permohonan sambung reman terhadap suspek berusia 32 tahun itu akan dibuat hari ini selepas tamatnya tempoh reman dua hari sebelum ini.

Zamzuri berkata kertas siasatan kemudian akan dirujuk kepada timbalan pendakwa raya untuk tindakan lanjut.

Dalam kejadian kira-kira 2.30 petang itu, kenderaan jenis Nissan Navara yang dipandu seorang lelaki merempuh motosikal jenis Benelli TRK 502 yang ditunggang pasangan suami isteri menyebabkan mereka tercampak ke bahu jalan.

Mangsa lelaki berusia 53 tahun mengalami retak tulang selangka dan luka pada bahagian buku lali manakala isterinya berumur 49 tahun patah buku lali dan tulang rusuk kanan serta pendarahan dalam otak serta masih menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi di Hospital Sungai Buloh.

Terdahulu, tular video di media sosial pemilik pacuan empat roda yang terlibat dalam kemalangan terbabit tampil mendakwa dirinya bukan pemandu ketika kejadian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.