Saya tengah iddah kerana baru diceraikan Kedah – Aliff

Saya tengah iddah kerana baru diceraikan Kedah – Aliff

Aliff tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang, jika isu tanah 60 hektar dibangkitkan lagi.

aliff syukri

PETALING JAYA:
Pengasas D’Herbs Healthy Sdn Bhd, Datuk Aliff Syukri Kamarzaman tidak berminat menaja pasukan bola sepak lain buat masa ini, susulan dakwaan beliau merampas 60 hektar tanah di Kedah, selepas Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) menolak tajaannya bernilai RM30 juta.

Sehubungan itu, Aliff meminta diberikan masa untuk menenangkan fikirannya.

“Apa yang saya boleh katakan, kini saya tengah iddah kerana baru sahaja diceraikan oleh Kedah (KFA),” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat D’Herbs, hari ini.

Mengulas lanjut, Aliff yang lebih dikenali sebagai ‘abang terlajak laris’ akan memastikan perkara ini tidak berulang di masa hadapan dan beliau hanya akan bekerjasama dengan pasukan mempunyai pengurusan profesional.

“Saya hanya mahu menaja pasukan yang mempunyai pengurusan profesional, bukan bolak-balik macam ini,” katanya yang merujuk kepada KFA.

Tambah Aliff lagi, beliau tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang, jika isu tanah 60 hektar itu dibangkitkan lagi.

“Saya ada bukti bukan saya yang minta tanah itu. Saya tidak mahu saman, tetapi kalau dia (KFA) cerita lagi unsur fitnah kami akan ambil tindakan,” jelasnya.

Pada masa sama, Aliff turut menjelaskan beliau tidak berhasrat menyerang mana-mana pihak, sebaliknya hanya mahu membersihkan imejnya daripada kecaman sesetengah pihak.

“Saya memohon maaf kepada semua rakyat Kedah yang menyokong hasrat saya. Saya doakan semoga pasukan bola sepak Kedah maju di masa hadapan,” ujarnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.