Nahas Eurocopter AS350 : Mayat wanita ditemui di tebing sungai

Nahas Eurocopter AS350 : Mayat wanita ditemui di tebing sungai

Selepas penemuan mayat pertama, radius kawasan pencarian tertumpu di sekitar empat kilometer daripada kawasan mayat ditemui.

body-heli-crash

PETALING JAYA:
Mayat seorang wanita disahkan ditemui Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak sewaktu operasi mencari dan menyelamat di kawasan tumpuan pencarian sebuah helikopter yang dipercayai hilang di tebing sungai Batang Lupar.

Menurut Pengarahnya, Nor Hisham Mohammad, mayat wanita yang ditemui tersangkut di tebing sungai itu dalam proses dibawa balik ke hospital untuk pengecaman.

“Pencarian dilakukan di sekitar kawasan SAR di mana seprihan ditemui.

“Selepas penemuan mayat pertama, kami telah mengehadkan radius kawasan pencarian iaitu sekitar empat kilometer daripada kawasan mayat ditemui,” kata Nor Hisham dalam satu temubual langsung dengan saluran televisyen Astro Awani sebentar tadi.

Nor Hisham juga menafikan mana-mana viral tentang insiden terbabit dan mengesahkan hanya satu mayat sahaja yang ditemui setakat ini.

Mayat tersebut dijumpai kira-kira 15 kilometer dari pekan Sembuyau.

JBPM telah menggerakkan 50 kekuatan anggota dan pegawai daripada unit Multi Skill Team (MUST) dan Pasukan Khas Operasi Taktikal dan Menyelamat (Storm) serta lain-lain pegawai dalam pencarian itu.

Pesawat jenis Eurocopter AS350 itu berlepas dari Betong pada 4.12 petang semalam dalam penerbangan ke Kuching sebelum terputus hubungan dengan menara kawalan dan hilang 20 minit kemudian.

Laporan awal menyatakan ia membawa beberapa orang VIP termasuk Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Noriah Kasnon dan enam orang termasuk suami Noriah, Asmuni Abdullah dan Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia Datuk Wan Mohammad Khairil Anuar Wan Ahmad, yang juga merupakan Anggota Parlimen Kuala Kangsar.

Penumpang lain ialah Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Sundaran Ann Amalai serta pengawal peribadi Noriah, Ahmad Sobri. Pesawat itu dilaporkan diterbangkan oleh Kapten Rudolf Rex Ragas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.