Anak mohon bantuan cari bapa hilang

Anak mohon bantuan cari bapa hilang

Kehilangan bapa yang juga Pengarah Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Zaidi Yazid turut mendapat perhatian Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

zaheera-zaidi

KUALA LUMPUR:
Pengarah Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Zaidi Yazid dilaporkan hilang sejak 30 April lalu.

Kehilangannya itu menjadi viral di media sosial selepas anak perempuannya memuat naik status di Facebook memohon bantuan orang ramai mencari bapanya yang hilang.

Menurut maklumat dalam status Facebook anaknya, Zaheera Zaidi, bapanya dikatakan keluar dari rumahnya di Seksyen 4 Bangi pada jam enam petang.

“Minta bantuan kawan-kawan semua. Kalau ada terjumpa ayah tersayang saya mohon hubungi saya. Last (kali terakhir) saya jumpa (bapa) Sabtu 30 April jam enam petang. Dia keluar rumah jam enam petang 30 April dan katanya nak tidur di INTAN Bukit Kiara,” katanya.

Kehilangan Zaidi itu disahkan oleh Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang maklum mengenai kebimbangan keluarganya.

Beliau bagaimanapun meminta agar semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kehilangan tersebut sehingga polis memaklumkan sebarang perkembangan susulan.

“Saya ambil maklum kebimbangan keluarga Pengarah BTP, Encik Zaidi Yazid mengenai keselamatan beliau pada ketika ini ekoran tidak menghubungi keluarga atau rakan-rakan semenjak semalam (pagi Ahad).

“Difahamkan laporan polis telah dibuat oleh keluarga beliau petang tadi. Sama-sama kita berdoa agar beliau selamat ditemui atau pulang ke pangkuan keluarga. Inshaa Allah,” katanya dalam status di Facebook.\

Dalam pada itu, pihak polis juga mengesahkan laporan terhadap kehilangan Zaidi telah diterima daripada keluarga beliau pada petang semalam.

Laporan dibuat di Balai Polis Bandar Baru Bangi  dan kes ini disiasat di bawah kategori ‘orang hilang’.

Belum ada apa-apa elemen jenayah dikesan dalam kes kehilangan ini, namun polis dikatakan sedang menumpukan siasatan dalam pelbagai kemungkinan.

FMT kini dalam usaha untuk mendapatkan maklumat dan status terkini kehilangan Zaidi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.