
Fadhlina Sidek berkata, beliau membuat laporan kepada polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) berkenaan fitnah mengaitkannya dengan pengetua SMKA Tun Datu Mustapha di Papar.
Katanya, ada beberapa individu yang cuba mengaitkan beliau dengan pengetua sekolah itu.
“Setakat tepis dan nafi, ternyata tidak menjadi pengajaran. Apatah lagi fitnah itu mengaitkan arwah ibu saya yang sudah tiada di dunia ini untuk mempertahankan dirinya.
“Fitnah yang ditaja secara jahat dan disebarkan telah memberikan implikasi kepada masyarakat,” katanya di Facebook, dengan tangkap layar komen berkenaan.
Fadhlina berkata, tindakan undang-undang juga akan diambil, sebagai pengajaran kepada semua pihak.
“Saya menyeru semua pihak untuk tidak membuat sebarang spekulasi. Hormati keluarga Zara Qairina dan beri ruang kepada proses undang-undang yang sedang berjalan.
“Jika keadilan itu yang kita cari, maka ia harus ditegakkan dengan paksi kebenaran. Sesungguhnya keadilan itu sangat dekat dengan takwa,” katanya.
Zara Qairina meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth (HQE) pada 17 Julai. Dia dimasukkan ke hospital berkenaan setelah ditemukan tidak sedarkan diri berhampiran asrama sekolahnya pada 4 pagi hari sebelumnya.
Prosiding inkues berhubung kematian remaja berusia 13 tahun itu sedang berjalan di Mahkamah Koroner di Kota Kinabalu, dengan beberapa pihak memberi keterangan siang tadi.