Murid jatuh lubang kumbahan: KPM siasat, ambil tindakan tegas jika tak patuh SOP

Murid jatuh lubang kumbahan: KPM siasat, ambil tindakan tegas jika tak patuh SOP

Tiada kompromi terhadap aspek libat keselamatan dan kesejahteraan warga sekolah, kata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

Fadhlina Sidek
Fadhlina Sidek berkata, semua pentadbir sekolah, pejabat pendidikan daerah dan pejabat pendidikan negeri perlu bertanggungjawab pastikan fasiliti sekolah dalam keadaan selamat.
PETALING JAYA:
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata, pihaknya sedang menyiasat kejadian seorang murid Tahun Tiga maut selepas terjatuh ke dalam lubang kumbahan di sebuah sekolah di Nilai pagi tadi.

Beliau berkata, tiada kompromi terhadap aspek melibatkan keselamatan dan kesejahteraan seluruh warga institusi pendidikan dan tindakan tegas akan diambil sekiranya terdapat ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP).

Katanya, semua pentadbir sekolah, pejabat pendidikan daerah dan pejabat pendidikan negeri perlu bertanggungjawab memastikan fasiliti sekolah berada dalam keadaan selamat.

“Kejadian itu sangat mendukacitakan dan sekolah perlu menjadi ruang paling selamat untuk anak-anak,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Abdul Fattah Khairol Rizal, 9, dilaporkan meninggal dunia selepas terjatuh ke dalam lubang kumbahan di kawasan sekolahnya yang terletak di Lenggeng awal hari ini.

Ketua Polis Negeri Sembilan Alzafny Ahmad berkata, IPD Nilai menerima laporan mengenai kejadian kira-kira 11 pagi tadi.

Menurutnya, siasatan mendapati mangsa terjatuh ke dalam saluran kumbahan yang tidak bertutup ketika berlangsungnya program kejohanan olahraga di sekolah itu.

Selepas dikeluarkan, mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban namun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.