
Bekas menteri itu berkata kegusaran ibu bapa bukan hanya kerana kejadian buli atau jenayah di sekolah, tetapi persoalan lebih mendasar, iaitu apa yang sedang berlaku dalam sistem pendidikan.
“Masalah sebenar bukan sekadar kekurangan dasar atau pekeliling, tetapi budaya dan sistem yang gagal menyokong guru serta pelajar.
“Pendekatan lima perkara yang diumumkan kementerian hanya menyentuh simptom, bukan akar masalah,” menurut kenyataan.
Nik Nazmi menyorot perhatian kepada pengakuan ketua pengarah pendidikan bahawa ada kes ‘disapu bawah karpet’, mendakwa itu tanda sistem pentadbiran gagal memberi ruang kepada warga sekolah bersuara tanpa takut.
Beliau menambah, amaran seperti kadar keciciran meningkat dan ketidakhadiran peperiksaan sering diabaikan ‘sehingga tragedi berlaku’.
Nik Nazmi berkata seseorang menteri mesti mendengar terus pandangan dari lapangan, meneliti laporan dengan jujur, dan memahami realiti guru yang menanggung tekanan setiap hari.
Katanya lagi, “Menteri sepatutnya mempertahankan mereka yang berusaha memperbaiki keadaan, bukan melemahkan demi kelangsungan politik.”
Dalam pada itu, Nik Nazmi berkata pendidikan moral, agama dan sivik yang diajar belum cukup membina budaya saling menghormati dan empati, lalu menyeru kepada membina semula ekosistem pendidikan yang berasaskan kepercayaan terhadap guru, keselamatan pelajar, dan nilai kemanusiaan.
“Akhirnya, menteri mesti bertanggungjawab — bukan pegawai, bukan guru. Akauntabiliti tidak boleh dipindahkan kepada sesiapa,” katanya.
Semalam, Fadhlina beritahu Dewan Rakyat bahawa aspek kesihatan mental dan larangan keras membawa bahan terlarang dan berbahaya antara lima komponen utama reformasi serta-merta pendidikan negara dalam usaha memastikan sekolah menjadi premis lebih selamat untuk semua.
Aspek lain yang diberi penekanan ialah pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial, Polisi Perlindungan Kanak-kanak (CPP), dan bimbingan serta sokongan daripada guru.
Berhubung Ketua Pengarah Pendidikan Azam Ahmad, Fadhlina beritahu Dewan Rakyat bahawa kenyataan beliau telah disalah tafsir.
Menurutnya, kenyataan itu bukan bermaksud menunjukkan kementerian atau pihak sekolah cuba menyembunyikan salah laku, sebaliknya beberapa isu sebenarnya sudah pun diketahui oleh guru, pentadbir sekolah, kaunselor atau pejabat pendidikan.
Namun, katanya, banyak kes seperti itu tidak dianggap serius, menyebabkan tiada tindakan segera diambil.