Bantah Zakir bukan menghina Agong, Islam

Bantah Zakir bukan menghina Agong, Islam

Sayap Wanita MIC bidas tindakan Perkasa memetik Agong, Islam

mohana-zakir-naik
PETALING JAYA: Membantah ceramah Dr Zakir Naik diadakan di Malaysia tiada kena mengena dengan mencabar Yang di-Pertuan Agong dan kedudukan Islam.

Ketua Wanita MIC, Mohana Muniandy berkata demikian menjawab amaran Perkasa kepada Pemuda MIC yang meminta pihak berkuasa menghalang Zakir daripada berceramah dalam beberapa siri wacana.

Malah, tindakan Perkasa memetik Agong dan Islam disifatkan sebagai melampau.

“Jangan gunakan Islam dan Agong untuk mengugut rakyat,” kata Mohana, ketika dihubungi FMT.

Mohana menjelaskan Malaysia menelusuri laluan kesederhanaan dan Zakir dikenali sebagai pendakwah melampau yang memperkecilkan agama-agama lain.

Di kala perpaduan amat mendesak, Mohana berkata Perkasa sepatutnya bersama membendung segala bentuk ekstremisme.

“Kita tidak perlukan seseorang seperti Zakir. MIC bantah semua penceramah ekstrem, walau apapun agama yang mereka sebarkan.”

Beliau berkata MIC akan terus mendesak Zakir dihalang daripada berceramah di Malaysia kerana memperkecilkan agama lain tidak sesuai untuk masyarakat.

Sebelum ini, Ketua Pemuda Perkasa, Irwan Fahmi Ideris memberi amaran kepada MIC untuk tidak menimbulkan amarah orang Islam dengan bantahan mereka.

Irwan mengingatkan MIC akan kedudukan Islam dan mendakwa bantahan MIC sama seperti tidak menghormati Agong sebagai ketua agama Islam.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.