
Penganalisis Ariff Aizuddin Azlan berkata kemungkinan itu termasuk mahu keluar dari kerjasama dengan Umno yang terjalin di bawah Perikatan sejak 1955 dan pembentukan BN 19 tahun kemudiannya.

Menurut ahli akademik dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) itu, langkah terbabit mungkin didorong kedudukan MIC yang semakin goyah serta kehilangan pengaruh di kalangan pengundi India.
“Jika MIC bertindak meninggalkan BN, ia pasti menjadi masalah baharu kepada gabungan itu tetapi tidak begitu kritikal.
“BN masih boleh menarik parti minoriti lain bagi mengekalkan sokongan masyarakat India,” katanya kepada FMT.
Minggu lalu, Presiden MIC SA Vigneswaran mengesahkan parti itu tidak akan menjemput mana-mana pemimpin BN termasuk ke mesyuarat agung tahunannya pada 16 Nov depan.
Zahid bagaimanapun berkata tindakan tidak menjemput pemimpin parti lain ke mesyuarat agung bukanlah sesuatu yang baharu dan menegaskan BN terbuka dengan apa jua keputusan bakal dibuat kepimpinan MIC.
Awal bulan ini, sumber MIC memberitahu FMT parti itu melihat Perikatan Nasional (PN) sebagai ‘cahaya di hujung terowong’ selepas hubungan dengan BN dilihat semakin renggang.
Sementara itu, Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya berkata sekiranya MIC benar-benar meninggalkan BN, gabungan itu perlu mencari alternatif baharu untuk mengekalkan sokongan pengundi India.

Beliau mencadangkan BN mempertimbangkan penyertaan rasmi kumpulan Friends of BN yang selama ini menjadi sekutu luar gabungan itu.
“Pendekatan menyerap beberapa parti Friends of BN memberi fleksibiliti dan ruang kompromi. BN boleh memilih rakan yang mempunyai kekuatan akar umbi di kawasan tertentu dan tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada MIC,” katanya.
Menurut Awang Azman, sebelum ini MIC didakwa menjadi halangan kepada kemasukan Friends of BN kerana bimbang persaingan dalaman.
“Maknanya Friends of BN sudah bersedia sekiranya MIC keluar BN,” katanya.