NGO Melayu cari Umno hidup semula MN isyarat PN ‘tepu’, kata penganalisis

NGO Melayu cari Umno hidup semula MN isyarat PN ‘tepu’, kata penganalisis

Mazlan Ali bagaimanapun berkata Umno mungkin tidak menyahut seruan NGO Melayu menghidupkan Muafakat Nasional atas faktor politik.

Asyraf Wajdi Dusuki
Wakil NGO Melayu mengadakan pertemuan bersama Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki di Menara Dato’ Onn, Kuala Lumpur, kelmarin.
PETALING JAYA:
Gesaan beberapa NGO supaya Umno menghidupkan semula Muafakat Nasional (MN) menjelang PRU16 menunjukkan kepentingan parti itu dalam meningkatkan sokongan dalam kalangan orang Melayu, kata penganalisis.

Mazlan Ali turut berpendapat usaha menghidupkan MN diasaskan Umno dan PAS selepas PRU14 ketika keduanya di blok pembangkang, mungkin timbul kerana kurang keyakinan terhadap Perikatan Nasional (PN) yang kini dilihat ‘tepu’

Menurut ahli akademik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu, Umno dilihat sebagai komponen penting dalam menjayakan agenda Melayu, selepas beberapa usaha terdahulu dianggap kurang berjaya.

Beliau memberi contoh Sekretariat Orang Melayu diketuai Dr Mahathir Mohamad, disokong Pengerusi PN Muhyiddin Yassin dan Presiden PAS Hadi Awang, yang ditubuhkan Jun lalu tetapi tidak menunjukkan perkembangan yang dihasratkan.

Mazlan Ali
Mazlan Ali.

“Umno jawapan untuk meningkatkan momentum sokongan orang Melayu.

“Namun, saya yakin Umno tidak akan menyahut usaha NGO itu kerana wacana mereka mirip agenda Mahathir, Muhyiddin dan Hadi,” katanya kepada FMT sambil tidak menolak kemungkinan gesaan itu juga bertujuan meningkatkan sokongan kepada PN.

Menurut Mazlan, ini kerana Perkasa yang mengetuai 17 NGO dalam pertemuan dengan pemimpin Umno di ibu pejabat parti itu kelmarin, dilihat mesra PN.

“Perkembangan itu mungkin menunjukkan PN telah tepu, dan Umno menjadi jawapan untuk meningkatkan sokongan.

“Tidak sukar bagi Umno menghidu tujuan NGO ini yang mungkin mempunyai motif politik walaupun dilabel perpaduan Melayu,” katanya.

Semalam, Presiden Perkasa Syed Hassan Syed Ali berkata 17 NGO menggesa Umno menghidupkan kembali MN atau menjalin semula hubungan dengan PN, disampaikan dalam pertemuan dengan pimpinan parti termasuk Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki.

Dalam perbincangan itu, NGO berkenaan menggesa Umno tidak lagi bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dan membangkitkan isu semasa berkaitan kepentingan Islam, Melayu dan negara yang didakwa digugat DAP.

MN tidak lagi aktif selepas PAS menyertai PN menjelang PRU15 dan mahu Bersatu, parti serpihan Umno, menyertai platform penyatuan ummah itu.

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara pula berkata, usaha menghidupkan semula MN sukar direalisasikan kerana kerjasama antara Umno dan PAS terjejas akibat kecurigaan serta perbezaan hala tuju politik.

Azmi Hassan
Azmi Hassan.

Beliau berkata, tuntutan NGO supaya Umno mengetuai blok Melayu sebenarnya berpunca daripada persepsi kemampuan serta pengalaman berdepan DAP, bukan PN.

“Dulu MN ditubuhkan kerana kebimbangan DAP akan mengancam Melayu. Tetapi sekarang situasinya berbeza.

“DAP tidak lagi mampu menggugat kedudukan Melayu kerana ada Umno, PKR dan Amanah dalam kerajaan.

“Jadi, naratif memburukkan DAP lebih kepada usaha menghidupkan semangat politik lama,” katanya.

Azmi berpandangan, retorik anti-DAP tetap menguntungkan Umno kerana parti itu kini berada dalam kerajaan dan mampu menunjukkan peranan sebagai pengimbag kuasa, bukan sekadar pembangkang seperti PN.

“Semakin kuat retorik DAP dimainkan, semakin naik imej Umno sebagai parti yang berani menongkah DAP dari dalam kerajaan.

“Ini sebabnya NGO Melayu melihat Umno, bukan PN, sebagai harapan sebenar mempertahankan kepentingan Melayu,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.