NGO Melayu gesa Umno hidupkan semula MN hadapi PRU16

NGO Melayu gesa Umno hidupkan semula MN hadapi PRU16

Kumpulan diketuai Perkasa mahu Umno jauhi DAP dan pertimbang kerjasama dengan PN.

Wakil NGO Melayu mengadakan pertemuan bersama Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki di Menara Dato’ Onn, Kuala Lumpur, semalam.
PETALING JAYA:
Beberapa NGO Melayu diketuai Perkasa menggesa Umno menghidupkan kembali Muafakat Nasional (MN) atau menjalin semula hubungan dengan Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi PRU16.

Dalam kenyataan, Presiden Perkasa Syed Hassan Syed Ali berkata desakan itu disampaikan semalam dalam pertemuan antara pihaknya bersama 16 NGO Melayu dengan pimpinan Umno diketuai Setiausaha Agung Asyraf Wajdi Dusuki di Menara Dato’ Onn, Kuala Lumpur.

“Tujuan utama perjumpaan ini adalah untuk menyampaikan harapan agar Umno tidak bekerjasama lagi dengan DAP, PKR dan Amanah pada PRU16 yang dijangka diadakan lebih awal, hujung tahun depan.

“Kami juga sampaikan harapan agar Umno tidak bertanding solo dan perlu menjalinkan kerjasama dengan PN atau hidupkan semula MN jika Bersatu terus bergolak,” katanya.

Menurut Syed Hassan, pertemuan itu turut membincangkan isu semasa membabitkan kepentingan Islam, Melayu dan negara yang didakwa digugat oleh DAP, selain menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap pendirian Umno dalam menangani perkara tersebut.

“Kami sampaikan kebimbangan bahawa Umno dilihat tidak bersungguh-sungguh menentang ancaman terhadap kepentingan Melayu dan Islam,” katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, dalam pertemuan itu Asyraf menjelaskan pelbagai langkah diambil Umno untuk memperkukuh kedudukan Islam dan Melayu sejak menyertai kerajaan Madani.

“Pada pandangan kami, usaha itu boleh dikatakan sangat baik tetapi tidak didedahkan secara meluas kepada masyarakat Melayu bahawa ia adalah hasil kerja Umno,” katanya.

Syed Hassan turut menegaskan, pertemuan NGO tersebut dengan pimpinan Umno tidak membawa maksud mereka menyokong kerajaan perpaduan atau bersetuju dengan penglibatan Umno dalam kerajaan yang turut disertai DAP.

“Perjumpaan kami dengan pimpinan Umno semalam bukan bermakna NGO kami sudah boleh menyokong kerajaan yang ada DAP ini dan ianya juga bukan bermakna kami sudah bersetuju atau boleh menerima Umno bersama kerajaan yang ada DAP,” katanya.

MN ditubuhkan pada September 2019 ketika Umno dan PAS dalam blok pembangkang susulan kejayaan Pakatan Harapan dalam PRU14 pada Mei 2018.

Pakatan itu terkubur selepas PAS membentuk PN bersama Bersatu dan pada masa sama mahu Bersatu diterima dalam MN, tetapi dibantah Umno.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.