
Dua bulan lalu saya tulis artikel ini.
Bagaimanapun kedua-dua parti masih berada dalam Barisan Nasional (BN). Pun begitu terus beri tanda-tanda seolah akan keluar BN.
MCA terus bertindak bagai duri dalam daging BN. Tetapi bukan MCA yang mahu diceritakan buat masa ini.
Sebaliknya artikel ini mengenai MIC. Satu sumber MIC baru-baru ini beritahu FMT parti itu melihat kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) bagai ‘cahaya di hujung terowong gelap’.
Saya tidak pasti sama ada sumber itu kata yang dia kata sempena pesta cahaya – Deepavali yang disambut penganut Hindu hari ini. Sekadar maklumat – sumber MIC itu berkata demikian hampir dua minggu lalu.
Yang jelas tiada perkembangan lanjut mengenai MIC dengan PN. Apa pun saya kira MIC sedang bertanya tanya dirinya persoalan yang tertera pada tajuk artikel ini.
Tajuk itu saya pinjam ungkapan “to do or not to do – that is the question” yang terdapat dalam Hamlet – antara karya agung Shakespeare. Tentu persoalan lebih tepat untuk MIC (dan juga MCA tetapi bak dikata tadi ini cerita MIC ) ialah keluar (BN) atau tak keluar (BN)? Kalau tanya saya lebih banyak buruk daripada baik jika MIC keluar BN.
MIC (dan MCA) sering bising-bising terhadap BN dan ini berlanjutan .Namun Zahid Hamidi, pengerusi BN mendakwa satu kajian mendapati ahli kedua- dua parti itu tidak mahu parti mereka tinggalkan BN.
Cuma menurut Zahid ada dalam kalangan pemimpin parti berkenaan yang ‘merajuk apabila tidak diberikan mainan. Tetapi kata Zahid, si merajuk tidak cerminkan sentimen akar umbi.
Bukanlah memeranjatkan kata-kata Zahid tidak disenangi pemimpin kedua parti yang disasarnya. Sebenarnya mereka marah. Tidak perlu ulangi apa yang mereka kata.
Yang perlu diberi perhatian ialah kenyataan Presiden MIC SA Vigneswaran yang partinya akan buat keputusan sama ada keluar atau kekal BN pada mesyuarat agung tahunan MIC atau AGM November ini.
Reaksi Zahid – BN tidak akan halang jika MIC mahu tingglkan gabungan itu. Pada hemat saya kemungkinan besar Zahid sudah bosan akan ‘permainan politik’ MIC dan MCA kerana telah banyak kali dilihat berlembut dan beralah.
Sekadar satu contoh. Semasa PRK Kuala Kubu Baru pada 11 Mei 2024. MIC dan MCA tidak mahu ada kena mengena dengan pilihan raya itu.
Zahid terpaksa pujuk dua-dua parti berkempen untuk calon kerajaan. Mereka akur tetapi bengkak di hati terus membengkak hingga ke hari ini.
Dipendekkan cerita yang panjang. Apakah MIC akan keluar BN? Penganalisis politik Sivamurugan Pandian berpendapat MIC punya beberapa pilihan. Antaranya kekal dalam BN dan buat perubahan dalaman. Atau kekal tetapi tidak ambil bahagian dalam PRU mendatang.
MIC juga kata Sivamurugan boleh keluar BN dan sertai gabungan politik lain atau bertindak solo. “To survive it needs to see push and pull factors,” kata beliau.
Tetapi berdasarkan kenyataan pemimpinnya sehingga kini, MIC condong ke arah tinggalkan BN. Itu kata Sivamurugan .
Kata E Sivabalan pula MIC tinggalkan BN ibarat langkah bunuh diri. Pendapat Sivabalan menarik kerana beliau adalah veteran MIC yang sudah 37 tahun menganggotai parti. Dan beliau juga bekas setiausaha akhbar presiden MIC mendiang S Samy Vellu.
Kata Sivabalan, masyarakat India mengenali MIC hanya menerusi BN. “Saya terima feedback from the ground ramai pengerusi peringkat cawangan yang bimbang parti akan ambil tindakan bunuh diri. They fear the allocation chain from Umno at branch level will be cut off”.
Menurut beliau, jika MIC tinggalkan BN kekosongan akan diisi oleh Makkal Sakhti dan parti lain yang mesra BN. Perlu diingat dalam PN pula sudah ada ada Parti Rakyat India Malaysia atau MIPP. Bukanlah rahsia there’s no love lost between them dan MIPP tidak akan menyambut MIC with open arms.
Oh jangan lupa ada beberapa parti kecil yang merupakan apa yang dipanggil ‘parti sahabat PN’. Semuanya Indian based. Apa pun with or without them, bagi saya MIC dalam PN akan melukut di tepi gantang
Namun MIC masih boleh survive on its own kerana menurut Sivabalan parti itu mempunyai harta termasuk tanah, simpanan tetap selain AIMST University dan TAFE College. Tetapi “MIC cannot win elections let alone PRK”, kata Sivabalan.
Lantas beliau percaya MIC tidak akan keluar BN. Sebaliknya akan bekerjasama dengan MCA dalam kerangka BN “to rid the coalition of Zahid Hamidi who is seen as the stumbling block on GE seat allocations for MIC and MCA”. Pada pandangan saya this is a tall order to say the very least.
Sama ada kekal atau keluar BN – keputusan muktamad bak kata Vigneswaran akan ditentukan pada 16 Nov. Tetapi Zahid tidak akan dijemput ke AGM MIC hari itu kelak.
But don’t read too much into this jika ambil kira apa kata Vigneswaran. “AGM kali ini diadakan hanya sehari untuk hal dalaman parti. Tiada siapa akan dijemput termasuk Zahid. AGM ini untuk perwakilan dan delegasi MIC sahaja”.
Cukup buat sementara waktu soal MIC dan politik.
Hari ini untuk berpesta cahaya. Kepada semua (bukan sahaja anggota MIC) penganut Hindu, Selamat Deepavali.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.