Empat tebusan dalam keadaan baik

Empat tebusan dalam keadaan baik

Kumpulan penculik yang diketuai penculik rentas sempadan veteran dikenali sebagai "Apo Mike" bertindak memindahkan mangsa culik dari Idanan ke Pulau Jolo, pada Ahad lalu.

mangsa-culik
PETALING JAYA: Empat anak kapal warga Malaysia yang diculik sekumpulan lelaki bersenjata berhampiran Pulau Ligitan, minggu lalu, dipercayai masih berada di kubu kuat kumpulan pengganas Abu Sayyaf di Pulau Jolo, selatan Filipina.

Sumber-sumber Filipina yang dipetik Sin Chew Daily memaklumkan, kumpulan penculik itu diketuai penculik rentas sempadan veteran yang dikenali sebagai “Apo Mike”.

Kumpulan penculik itu telah memindahkan empat mangsa culik terbabit dari Idanan ke Pulau Jolo, pada Ahad lalu.

Difahamkan, empat mangsa yang berasal dari Sarawak itu kini dalam keadaan baik dan ditempatkan bersama 10 anak kapal warga Indonesia yang diculik daripada dua bot tunda di Pulau Tawi-tawi, pada 26 Mac lalu.

Bagaimanapun, sumber berkenaan juga tidak dapat memastikan jika penculik telah menghubungi keluarga mangsa atau kerajaan Malaysia dan enggan menyatakan kumpulan Abu Sayyaf mana yang menahan mangsa culik terbabit.

Pada 1 April lalu, empat warga Malaysia yang merupakan anak kapal tunda berdaftar di Malaysia, MV MASSIVE 6 dilaporkan diculik lapan lelaki bersenjata di perairan berdekatan Pulau Ligitan, ketika dalam perjalanan pulang dari Filipina ke Malaysia.

Keempat-empat mangsa itu ialah Wong Teck Kang, 31, Wong Teck Chii, 29, Johnny Lau Jung Hien, 21, dan Wong Hung Sing, 34.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.