
Dalam satu surat kepada Dusuki, Susanna Liew meminta supaya pegawai kanan polis terbabit, termasuk bekas timbalan pengarah Cawangan Khas, dikenakan tuduhan berhubung tanggungjawab kolektif mereka dalam penculikan Koh.
Beliau berkata, kesalahan yang didakwa termasuk perancangan jenayah, menyembunyikan atau memalsukan bukti, memberi maklumat atau keterangan palsu, penyalahgunaan kuasa oleh penjawat awam, ugutan, penahanan salah, penculikan dan pembunuhan.
Liew juga menggesa Dusuki menubuhkan pasukan petugas khas untuk menahan dan menyiasat dua pegawai kanan polis yang menurutnya akan memberikan ‘bukti yang mengatasi segala keraguan’ mengenai penculikan Koh.
“Saya berharap Tan Sri, sebagai penjaga kepentingan awam dan keadilan, akan memberi saya maklum balas awal,” katanya.
Dalam surat itu, Liew menyatakan bahawa Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) mendapati bahawa ‘bukti langsung dan tidak langsung membuktikan, berdasarkan keseimbangan kebarangkalian, bahawa Koh diculik oleh ejen negara, iaitu Cawangan Khas, Bukit Aman, Kuala Lumpur’.
Koh diculik pada waktu siang oleh sekumpulan lelaki dalam konvoi kenderaan pada 13 Februari 2017, ketika sedang memandu di sepanjang Jalan SS4B/10 di Petaling Jaya.
Pasukan petugas khas yang dibentuk oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada 2020 mengesahkan bahawa pegawai polis terlibat dalam penculikan beliau dan juga aktivis Amri Che Mat.
Amri, pengasas NGO Perlis Hope, meninggalkan rumahnya kira-kira jam 11.30 malam pada 24 November 2016. Keretanya ditemui di tapak pembinaan di Sekolah Sukan Bukit Cabang di Perlis awal pagi keesokan harinya.
Siasatan berasingan oleh Suhakam menyimpulkan bahawa Koh dan Amri adalah mangsa kehilangan paksa yang dilakukan oleh pihak berkuasa negara.