
Ketua Polis Kuala Lumpur Rusdi Isa berkata rakaman CCTV menunjukkan lima kenderaan termasuk sebuah Toyota Camry, Perodua Myvi, Nissan Almera dan Nissan Teana.
Katanya, tiga daripada kenderaan itu didapati menggunakan nombor pendaftaran palsu.
“Kami berjumpa dengan pemilik sebenar kenderaan dengan nombor pendaftaran itu dan mereka mengesahkan kenderaan itu ada dengan mereka (ketika kejadian). Ini bermakna nombor pendaftaran diklon,” katanya dalam satu sidang media di sini.
Beliau juga berkata seramai lapan suspek termasuk pemandu lima kenderaan dan tiga yang keluar dari tempat duduk penumpang untuk mengambil Ling.
Rusdi juga yakin bahawa Ling masih hidup dan tidak menolak kemungkinan bahawa wanita itu merancang penculikannya sendiri.
“Ada kemungkinan (rancang penculikan sendiri). Banyak kemungkinan. Apa pun kita hapus setiap kemungkinan satu demi satu (dalam siasatan),” katanya.
Rusdi berkata rakaman CCTV juga menunjukkan hanya dua suspek yang memakai vest polis ketika kejadian.
Katanya, dalam operasi tertentu, anggota polis tidak memakai vest polis bagi menyembunyikan identiti mereka.
Beliau juga mengesahkan bahawa polis tidak membuat sebarang operasi ketika kejadian, kemungkinan besar penculik Ling memakai vest itu untuk menyamar sebagai polis.
Katanya, polis juga membuat lakaran wajah salah seorang suspek dengan hanya 40% ketepatan. “Ia masih belum jelas lagi,” katanya.
Ketika ditanya adalah Ling sudah keluar negara, Rusdi berkata rekod imigresen menunjukkan kali terakhir wanita itu keluar negara adalah ke Singapura pada Januari lalu.
“Tiada rekod dia keluar Malaysia selepas itu tetapi kita mesti ingat ada individu yang keluar negara secara haram,” katanya.
Ling dilaporkan hilang pada 9 April ketika dalam perjalanan ke ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memberi keterangan.
Menurut adiknya, Simon, kenderaan e-panggilan yang dinaiki Ling dipintas beberapa kereta, dan dia diarahkan untuk menaiki salah satu daripadanya.
Pemandu e-panggilan yang membawa Ling ke ibu pejabat SPRM pada Selasa lalu memberitahu penculik memakai pakaian polis.