Keluarga Pastor Koh bantu siasatan polis, mahkamah diberitahu

Keluarga Pastor Koh bantu siasatan polis, mahkamah diberitahu

Supari Muhammad akui soalan yang dikemukakan kepada Susanna Liew ketika mengambil kenyataan sentuh tentang dakwah, bukan penculikan suaminya.

susanna raymond
Susanna Liew saman kerajaan, polis dan beberapa pegawai berhubung kehilangan suaminya, Pastor Raymond Koh.
KUALA LUMPUR:
Seorang pegawai penyiasat beritahu Mahkamah Tinggi bahawa keluarga Pastor Raymond Koh beri kerjasama sepenuhnya kepada polis dan memberikan bantuan sepanjang siasatan ke atas kehilangannya.

Supari Muhammad berkata anak lelaki Koh, Jonathan, menyerahkan rakaman CCTV kepadanya beberapa hari selepas 13 Feb 2017, hari apabila Koh dikatakan diculik di Jalan SS4B/10 di Petaling Jaya.

“Saya bersyukur atas bantuan mereka,” katanya ketika memberi keterangan dalam saman yang difailkan oleh isteri Koh, Susanna Liew, terhadap polis dan kerajaan berhubung kehilangan Koh.

Supari salah seorang defendan yang dinamakan dalam saman itu.

Liew mahu pihak berkuasa dipertanggungjawabkan atas penculikan suaminya dan misfeasans dalam jawatan awam.

Supari berkata, pegawainya cuba mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) hari kejadian daripada penduduk di Jalan SS4B/10, namun tiada sesiapa sudi beri kerjasama.

“Sukar bagi kami (polis) tetapi orang awam (seperti keluarga Koh) mungkin berjaya,” katanya.

Supari juga berkata beliau ditugaskan untuk kes itu pada tarikh kejadian tetapi ketika itu tidak dapat memastikan sama ada ia kes penculikan.

Beliau kemudian memaklumkan kepada pegawai bawahan, Ali Asra Abu Bakar, untuk semak sama ada mana-mana pihak berkuasa atau agensi menjalankan operasi membabitkan tangkapan pada hari itu.

“Saya mengetahui identiti mangsa kemudian hari itu selepas mendapat maklumat daripada pemilik kereta yang dipandunya. Isyarat terakhir telefon mangsa dikesan di sekitar Taman Mayang,” katanya.

Ditanya peguam Liew, Steven Thiru, sama ada pegawainya menemubual orang awam di sekitar Taman Mayang untuk menentukan kehadiran kenderaan yang mencurigakan di kawasan itu, Supari berkata tiada sebarang kenyataan diambil.

Steven: Adakah anda dan pegawai anda mengadakan sebarang sekatan jalan raya (sekitar kawasan Taman Mayang)?

Supari: Tidak.

Supari berkata beliau terima maklumat mengenai rakaman CCTV yang diambil dari luar pangsapuri Koh beberapa hari sebelum tarikh kejadian.

Rakaman itu menunjukkan kehadiran dua kenderaan mencurigakan diletakkan di luar, dan mereka akan ikut Koh setiap kali beliau meninggalkan rumahnya.

“Apabila kami semak nombor plat, kami dapati ia palsu,” katanya.

Polis siasat Koh?

Supari berkata, polis merekodkan kenyataan Liew pada malam kejadian yang berlarutan sehingga awal pagi.

Beliau bersetuju bahawa kebanyakan soalan yang mereka ajukan kepada Liew tidak berkaitan dengan penculikan Koh, tetapi menyentuh isu dakwah.

“Kami mendapati mangsa aktif dalam aktiviti keagamaan dan kami ingin tahu sama ada dia mempunyai musuh,” katanya.

Dia juga mendakwa Liew memberinya ‘alasan’ untuk tidak menjawab soalan.

Menurutnya, satu acara anjuran Koh di Gereja Methodist Damansara Utama pada 2011 dihadiri umat Islam, katanya.

Steven: Dia bersikap defensif kerana anda menuduhnya (mendakwa dakwah)? Jangan lupa bahawa suaminya telah diculik (awal hari itu).

Supari: Saya tidak bersetuju, saya hanya ingin tahu jika ada yang membencinya.

Steven: Jadi adakah anda berjaya mengecilkan (senarai orang yang mencurigakan) pada akhirnya?

Supari: Tidak.

Perbicaraan di hadapan Hakim Su Tiang Joo bersambung pada 27 Mei.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.