
ADUN Kampung Tunku, Lau Weng San berkata lokasi strategik tanah seluas 500,000 kaki persegi di tengah-tengah bandar dengan laluan pengangkutan awam bersimpang-siur di sekelilingnya, ditambah pula dengan keberadaan prasarana yang sudah matang menjadikan idea ini sesuatu yang perlu diberi perhatian serius.
“Saya memohon kerajaan Selangor untuk mengambil peluang keemasan meninjau kemungkinan turut terlibat bersama melalui mana-mana anak syarikatnya seperti Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).
“Pembangunan rumah mampu milik dalam apa jua peratusan dan nisbahnya pasti akan memanfaat golongan kelas pertengahan dan kaum belia yang ingin mendirikan rumahtangga di Petaling Jaya,” kata beliau dalam satu kenyataan media hari ini.
Menurut Weng San, BAT telah melantik sebuah agen hartanah bebas untuk menguruskan jual beli tanah itu melalui tender terbuka, yang dijangka siap Mei depan.
Walaupun kajian CIMB Investment Bank Research mendedahkan harga keseluruhan tanah itu antara RM 252 juta hingga RM277 juta, Weng San mencadangkan agar kerajaan berbincang dengan pemilik tanah yang baharu, dan menjalankan projek usahasama membina rumah mampu milik di Petaling Jaya.
Memandangkan 15% hingga 25% daripada kos pembangunan keseluruhan membabitkan kos tanah, Weng San mencadangkan pemberian insentif yang lebih banyak bagi memungkinkan kerjasama itu, termasuk pemberian insentif sedia-ada seperti kelulusan cepat, pengurangan premium, cukai tanah serta pengecualian caj pembangunan bagi mengurangkan kos pembangunan rumah mampu milik.
Pemimpin DAP itu menambah, pembelian tanah itu sekiranya dilaksanakan akan sekaligus memperkayakan bank tanah kepunyaan Selangor.