HSR: Adakah penduduk sekitar tahu nilai tanah mereka?

HSR: Adakah penduduk sekitar tahu nilai tanah mereka?

Penduduk setempat yang kebanyakannya Melayu dibimbangi gagal mengambil manfaat sepenuhnya ekoran tiada akses maklumat

projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura

PETALING JAYA:
Kerajaan harus memberi jaminan maklumat berkenaan kesan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura keatas nilai tanah dan potensi limpahan pembangunan darinya dibuka dan disalurkan kepada penduduk sepanjang jajaran, kata felo kanan Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), Azlan Awang.

Ia bagi membantu penduduk yang bakal terkesan membuat pertimbangan nasib aset dalam tangan secara bijaksana, terutama sekali pemilik tanah-tanah kampung yang akan didatangi pelabur atau orang tengah.

“Setakat ini maklumat itu tidak disebarkan kepada semua, ini merugikan orang kampung yang tinggal,” katanya kepada FMT.

Jelasnya, dengan akses itu, penduduk terlindung daripada tawaran yang tidak setimpal untuk tanah masing-masing, disamping membantu penduduk mengenalpasti potensi milikan mereka sekiranya dimajukan pula.

“Maklumat yang diperolehi orang kampung dengan pelabur mestilah sama. Saya bimbang orang kampung akan menjual tanah di bawah kadar sepatutnya, terutama tanah pertanian.

“Masalah bila orang awam tak tahu (tentang projek yang akan dijalankan) dan harga akan naik, berbeza dengan sesetengah pihak berkepentingan yang ada maklumat dalaman,” ujarnya.

Beliau mengulas kenyataan Presiden Institut Ejen-ejen Hartanah Malaysia (MIEA), Erick Kho yang dilaporkan akhbar Nanyang Siang Pau 22 Februari, bahawa pelabur dari Singapura dan China mengintai tanah di sepanjang jajaran HSR untuk dijadikan modal menjana keuntungan.

Projek kendalian MyHSR Corp Sdn Bhd yang disasarkan memakan belanja lebih RM65 bilion itu menghubungkan Singapura dengan Kuala Lumpur melalui hentian di Seremban, Melaka, Muar, Batu Pahat dan Nusajaya.

“Kerajaan kena umumkan maklumat seperti lokasi jajaran, sama ada di akhbar atau melalui Pejabat Tanah yang akan maklumkan kepada penduduk setempat,” tegasnya.

Sementara itu, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) khuatir penduduk Melayu yang menyerah tanah tidak dilibatkan dalam pembangunan yang dijalankan pelabur luar negara nanti.

“Ini sama seperti kes-kes sebelum ini, apabila orang Melayu ditempatkan di flat-flat selepas tanah mereka diambil untuk pembangunan,” kata Ketua Wira PERKASA, Irwan Fahmi Idris.

Yang lebih membimbangkan beliau adalah orang tengah atau pelabur mengambil kesempatan diatas kesempitan ekonomi yang menghimpit pemilik tanah sepanjang jajaran HSR.

“Kita bukan menolak pembangunan. Tetapi di saat ekonomi yang tidak berapa baik, penduduk (di kawasan terlibat) mungkin terdesak dan akan menjual tanah mereka.

“Rugilah orang Melayu jika tanah jatuh ke tangan pelabur luar,” katanya ketika dihubungi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.