Menurut laporan Harakahdaily, Khairuddin yang mengaku tersilap menganggap ia hanya pakaian Maharaja China membabitkan elemen kebudayaan dan bukan keagamaan berkata menyerahkan isu itu kepada kepimpinan PAS Pusat serta MSU untuk memutuskan kedudukannya dalam parti di Negeri Selangor.
“Keyakinan saya bahawa perayaan Tahun Baru Cina adalah berbentuk perayaan masyarakat Cina sebab itu saya percaya pakaian itu adalah budaya dan ia tidak ada kena mengena dengan agama mereka,” katanya.
Perkara itu berlaku kerana beliau hanya mahu menghormati majlis dan budaya bangsa Tionghua apabila diminta berpakaian sedemikian oleh Persatuan Penduduk Wangsa Permai.
“Saya serahkan isu ini kepada kepimpinan pusat untuk putuskan kedudukan saya. Sekiranya saya tersalah dari segi hukum, saya mohon keampunan dari Allah SWT dan saya mohon maaf kepada seluruh ahli dan pimpinan PAS khususnya di Selangor atas kesilapan saya ini,” katanya.
Beliau juga bersedia dan terbuka untuk menerima apa sahaja pandangan dan tindakan selanjutnya daripada kepimpinan ulama yang diterajui Majlis Syura Ulamak.
“Saya yakin dan percaya PAS dipimpin oleh Kepimpinan ulama dan mereka lebih maklum dari segi hukum dalam masyarakat majmuk seperti Selangor. Apa pun pandangan nanti, saya terima, insya Allah,” katanya.
