Pembayar cukai silap tanda ‘cukai ditanggung oleh majikan’ tak perlu kemuka pindaan

Pembayar cukai silap tanda ‘cukai ditanggung oleh majikan’ tak perlu kemuka pindaan

Lembaga Hasil Dalam Negeri berkata bagi kes yang disahkan ada kesilapan, bayaran balik lebihan cukai diproses secara berperingkat.

lhdn
LHDN berkata sistem pemprosesan bayaran balik cukai dilaksanakan secara automatik berdasarkan maklumat yang dikemukakan oleh pembayar cukai dalam Borang Nyata Cukai Pendapatan. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Pembayar cukai individu tidak perlu mengemukakan pindaan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) Tahun Taksiran 2025 bagi membetulkan kesilapan penandaan ruangan ‘Cukai ditanggung oleh majikan’ secara tidak sengaja semasa pengisian borang tersebut.

Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dalam kenyataan hari ini memaklumkan semakan telah dilaksanakan dan kes yang terlibat berjaya dikenal pasti.

“LHDN mengambil maklum bahawa terdapat pembayar cukai individu yang telah menandakan ruangan ‘Cukai ditanggung oleh majikan’ secara tidak sengaja semasa mengisi BNCP Tahun Taksiran 2025 dan menyebabkan bayaran balik lebihan cukai masih belum diterima.

“Bagi kes yang disahkan sebagai kesilapan penandaan, bayaran balik lebihan cukai akan diproses secara berperingkat oleh LHDN,” menurut kenyataan itu.

LHDN memaklumkan sistem pemprosesan bayaran balik cukai dilaksanakan secara automatik berdasarkan maklumat yang dikemukakan oleh pembayar cukai dalam BNCP.

“Oleh itu, ketepatan maklumat yang diisikan adalah penting bagi memastikan proses bayaran balik dapat dilaksanakan dengan lancar dan tanpa sebarang kelewatan,” menurut LHDN.

Menurut kenyataan itu, LHDN komited untuk terus memastikan pengurusan bayaran balik cukai dilaksanakan secara adil, telus dan berintegriti selaras dengan usaha berterusan untuk memperkukuh kecekapan pentadbiran percukaian negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.