Rata-rata akar umbi UMNO menyifatkan Ahmad Bashah tidak layak menjadi Menteri Besar kerana kemampuannya untuk mentadbir negeri ‘Jelapang Padi’ itu diragui.
Ketua Umno Cawangan Bandar Laguna, Zahran Abdullah berkata Ahmad Bashah tidak sesuai menjadi Menteri Besar kerana tidak menepati citarasa anak muda sekarang.
Katanya, Ahmad Bashah yang juga ADUN Bakar Bata tidak mampu menjadi idola untuk orang muda kerana sudah ‘lapuk’.
“Kita tidak nafikan beliau orang lama dalam politik di Kedah, tapi beliau (Bashah) sebenarnya sudah lapuk.
“Beliau lebih kepada seorang pengikut yang setia dan bukan seorang pemimpin,” katanya kepada FMT.
Sementara itu, Ketua UMNO Cawangan Jalan Badlishah, Anuar Abdul Hamid berpandangan Ahmad Bashah sukar untuk meraih sokongan akar umbi terutamanya daripada golongan muda.
Katanya, ketika Mukhriz menjadi Menteri Besar, beliau sangat disenangi oleh semua lapisan masyarakat tua dan muda.
“Saya tidak yakin dia mampu ambil hati akar umbi, orang kampung, kaum wanita dan golongan tua dan muda.
“Ini berbeza dengan Mukhriz yang dilihat menjadi satu tarikan tak kira tua atau muda, mereka sangat suka dengan beliau (Mukhriz).
“Kami tidak ada langsung keyakinan terhadap Ahmad Bashah,” katanya.
Tambah Anuar, Ahmad Bashah juga dilihat sukar untuk menarik undi anak muda yang menjadi penentu dalam pilihan raya akan datang nanti.
“Lihat di stadium tempoh hari, ramai anak muda bersatu sokong Mukhriz.
“Tetapi bila Mukhriz dijatuhkan, ramai ahli UMNO yang muda-muda sudah keluar daripada UMNO dan dimuatnaik status mereka di laman sosial Facebook tanda protes.
“Ini menunjukkan anak muda menolak kepimpinan Ahmad Bashah, berikutan cara penyingkiran Mukhriz dibuat oleh UMNO,” jelasnya.
Krisis pelantikan Menteri Besar Kedah yang baharu berakhir semalam apabila Mukhriz meletakkan jawatan itu selepas tidak lagi mendapat sokongan majoriti ADUN Kedah.
Ahmad Bashah akan mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kedah di Istana Anak Bukit hari ini.
Pelantikan Ahmad Bashah itu menamatkan krisis Menteri Besar selepas 14 ketua UMNO bahagian di Kedah mengadakan sidang media pada 20 Januari lalu, mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menggugurkan Mukhriz.
