Umno Kedah persoal pendirian PKR, sedia ‘bertempur’ jika rakan pilih solo

Umno Kedah persoal pendirian PKR, sedia ‘bertempur’ jika rakan pilih solo

Ketua Penerangannya Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata tiada lagi keperluan berselindung di sebalik ayat diplomatik jika PKR pilih bergerak sendiri di Kedah.

hazizy
Ketua Penerangan Umno Kedah Shaiful Hazizy Zainol Abidin mendakwa kerjasama yang benar-benar ikhlas tidak pernah wujud antara parti dalam kerajaan perpaduan di negeri itu selain tiada penyelarasan dan kesepaduan. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Umno Kedah menegaskan kesediaan untuk ‘bertarung habis-habisan’ sekiranya rakan dalam kerajaan perpaduan memilih pendekatan persaingan terbuka di negeri itu.

Ketua Penerangan Umno Kedah, Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata kenyataan Ketua Pemuda PKR Kamil Munim yang menggesa jentera parti bersiap sedia tanpa memikirkan soal kerjasama, mengesahkan apa yang didakwanya sebagai pendirian sebenar PKR di Kedah.

“Salam Kamil Munim, sebelum nak cakap orang kurang jujur, tanya Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah Saifuddin Nasution Ismail dia dah buat apa. Misi beliau di Kedah hanya Padang Serai,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Shaiful mendakwa di Kedah tidak pernah wujud kerjasama yang benar-benar ikhlas antara parti-parti terlibat, malah longgar tanpa penyelarasan dan kesepaduan.

“Hakikatnya memang tidak pernah wujud sebarang bentuk kerjasama yang benar-benar ikhlas. Tiada penyelarasan, tiada kesepaduan.

“Di hadapan bercakap tentang kebersamaan tetapi di belakang menyusun strategi sendiri dan menunggu waktu sesuai,” katanya.

Beliau berkata jika itu pendekatan yang dipilih, tidak perlu lagi berselindung di sebalik kenyataan diplomatik.

“Terima kasih kepada Kamil kerana akhirnya bercakap terus terang. Sekurang-kurangnya ada kejelasan dan tidak lagi bermain persepsi.

“Umno Kedah sedia maklum. Kami akan memperkemaskan jentera dan membuat persiapan sepenuhnya. Kalau itu pilihan mereka, kami sambut,” katanya.

Menerusi satu video yang dikongsinya, Kamil dilaporkan berkata PKR perlu bersiap sedia dari sekarang dengan memperkukuh kekuatan jentera tanpa terlalu memikirkan soal kerjasama dengan pihak lain.

“Kita kena bersiap sedia daripada sekarang, menyediakan kekuatan jentera kita terlebih dahulu tanpa kita fikir dengan siapa kita nak kerjasama.

“Dari awal pendirian kita jelas, kita nak berkawan dan bentuk kerjasama. Perkara paling penting kena ada kejujuran politik dan itu kita pertahankan sejak PR hingga PH,” katanya.

Beliau turut mengingatkan jentera Pemuda PKR supaya tidak bergantung kepada kekuatan pihak lain.

“Jangan juga bergantung kepada kekuatan orang lain. Kita sendiri kena bina kekuatan jentera dan apa sahaja keperluan untuk bersedia,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.