
“Autonomi adalah keperluan mendesak,” kata Ketua Penerangan Pemuda Umno Kedah, Safwan Jaafar, dalam kenyataan yang menyahut cadangan pemimpin negeri.

Safwan menegaskan cadangan autonomi bukan isu emosi, merajuk atau cubaan mencabar mana-mana pihak, menerangkan bahawa Pemuda Umno Kedah berdepan dominasi PAS yang memanipulasi sentimen agama, slogan dan naratif moral kosong, dan kerangka kerjasama yang lebih menguntungkan pihak lain tetapi meninggalkan Umno menanggung kos politik.
“Ini tuntutan strategik berasaskan realiti politik Kedah yang sebenar serta realiti yang ditanggung oleh jentera negeri, akar umbi, dan Pemuda di lapangan, bukan oleh mereka yang selesa membuat analisis dari jauh,” katanya.
Semalam, Ketua Penerangan Umno Kedah Shaiful Hazizy Zainol Abidin mencadangkan pihak negeri diberikan autonomi dalam memutuskan kerjasama dengan mana-mana parti atau bergerak solo pada PRU16.
Langkah terbabit bagi membolehkan Umno dan Barisan Nasional (BN) lebih mudah bergerak, katanya, yang menambah kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) boleh dianggap tiada walaupun ada diwujudkan sekretariat untuk menyelaras kerja.
Safwan mengesahkan perkara itu dengan berkata kerjasama dengan PH Kedah gagal memberikan kelebihan politik yang nyata kepada Umno.
“PH Kedah terus bergerak dalam zon selesa sendiri, gagal membina hubungan setara, dan menganggap sokongan Umno sebagai sesuatu yang boleh diambil mudah,” katanya.
Safwan menambah Umno Kedah mempunyai kekuatan, jentera, dan legitimasi sendiri untuk menentukan Haluan politik negerinya.
Pada PRN 2023, kerjasama BN dan PH hanya menang tiga kerusi dengan dua DUN dimenangi PKR (Bakar Arang dan Sidam) manakala satu DAP (Kota Darul Aman).
Perikatan Nasional (PN) yang diketuai PAS pula menang 33 kerusi, menyaksikan Sanusi Nor meneruskan tugas sebagai menteri besar untuk penggal kedua.