Bagaimanapun, dalam satu siri insiden ragut yang menyebabkan beberapa wanita kehilangan rantai emas, polis berjaya menahan lima rakyat asing yang disyaki sindiket ragut mengunjungi kuil sempena Thaipusam semata-mata untuk meragut penganut Hindu.
Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Mior Faridaltarash Wahid berkata empat wanita dan seorang lelaki itu ditahan secara berasingan di sekitar George Town sejak pukul 9 pagi, semalam.
“Enam wanita berusia 50 hingga 70 tahun membuat laporan polis apabila menyedari rantai emas yang mereka pakai hilang selepas selesai menyertai perarakan membawa arca Dewa Murugan yang bergerak pada 6 pagi dari kuil di Lebuh Pantai ke kuil di Jalan Kebun Bunga, semalam,” katanya, lapor Bernama.
Susulan kejadian itu, polis menubuhkan pasukan khas dan berjaya mengesan dua wanita di Lebuh Pantai, sebelum menahan tiga lagi rakannya yang disyaki terlibat dalam kejadian ragut itu, semalam.
Empat wanita rakyat India dan seorang lelaki Sri Lanka berusia antara 30 dan 42 tahun yang ditahan itu merupakan anggota sindiket ragut dan dipercayai tiba di Pulau Pinang Jumaat lepas, semata-mata untuk menjalankan kegiatan itu, katanya.
Beliau berkata polis sedang mengesan beberapa lagi anggota sindiket terbabit yang dipercayai masih berada di sekitar kawasan sambutan Thaipusam di negeri ini.
“Ekoran kejadian itu polis meningkatkan kawalan di semua kawasan sambutan Thaipusam dan saya nasihatkan semua pengunjung supaya lebih berhati-hati kerana anggota sindiket itu sangat licik sehingga mangsa langsung tidak menyedari mereka diragut,” katanya.