Tanda tangan TPPA awal beri lebih manfaat

Tanda tangan TPPA awal beri lebih manfaat

Malaysia berpeluang mempengaruhi fasal TPPA jika ditandatangani lebih awal

Abdul-Wahid-Omar_tppa_600

SHAH ALAM:
Malaysia berpeluang mempengaruhi klausa Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) jika ditandatangi lebih awal, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Abdul Wahid Omar.

“Jika Malaysia tidak mengambil bahagian awal, kita tidak akan mempunyai peluang untuk berdebat dan berbincang tentang fasal dalam TPPA. Seperti yang kita sedia maklum, beberapa negara, seperti Indonesia, Filipina dan Korea telahpun menyertai perjanjian ini.

“Lebih banyak negara yang menyertainya, semakin sukar bagi kita untuk memperoleh faedah,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Sidang Kemuncak TPPA di di Pusat Konvensyen Shah Alam, hari ini

Sidang Kemuncak TPPA merupakan usaha bersama gerakan Bantah-TPPA dan Kongres Rakyat yang disokong oleh PAS. Beberapa ahli panel membahas dan membincangkan kebimbangan mereka terhadap TPPA termasuk Ketua Bantah TPPA, Nizam Mahshar dan Ketua Kongres Rakyat, Mohd Azmi Abdul Hamid.

Wahid Omar berkata, beliau hadir ke sidang itu untuk mendengar dan mencatat isu yang dibangkitkan oleh ahli panel masing-masing. Beliau berharap diberi peluang untuk menjawab kebimbangan panelis dan “beri sedikit penjelasan, malangnya penganjur kesuntukan masa”. Wahid mengeluh “banyak fakta dan isu” yang dibangkitkan tidak tepat.

Ditanya mengenai langkah kerajaan menangani ketidaktepatan itu, Wahid berkata, kerajaan perlu mengiatkan penganjuran persidangan mengenai TPPA ke serata negara.

“Menteri Perdagangan, Mustapa Mohamed banyak mengadakan persidangan TPPA bukan sahaja di Kuala Lumpur tetapi di negeri-negeri lain seperti Pulau Pinang dan Terengganu. Ia akan terus dilanjutkan dengan harapan untuk mendidik orang ramai mengenai isu ini.

“Kami juga berharap dapat berbuat sama kepada semua ahli Parlimen,” katanya lagi.

Bantah-TPPA dan Kongres Rakyat dijangka mengadakan bantahan secara aman pada 23 Januari, iaitu beberapa hari sebelum TPPA dibahaskan di Parlimen.

Timbalan Pengerusi Bantah-TPPA Azlan Awang berkata, maklumat lanjut mengenai bantahan itu akan dikongsi dalam masa terdekat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.