Bersatu tak dapat manfaat jika gabung parti ‘nyamuk’, kata penganalisis

Bersatu tak dapat manfaat jika gabung parti ‘nyamuk’, kata penganalisis

Awang Azman Pawi berkata jika parti itu ada kekuatan misalnya mempunyai Adun, Ahli Parlimen atau akar umbi ia mampu perkukuh pengaruh Bersatu dan PN.

bersatu logo
Sebelum ini Presiden Muhyiddin Yassin mendakwa ada parti bersedia untuk dibubarkan bagi menyertai Bersatu secara rasmi bawah pimpinannya.
PETALING JAYA:
Bersatu hanya akan memperoleh manfaat dari segi kekuatan politik jika parti bakal dibubarkan bagi membentuk satu gabungan dengan mereka mempunyai kerusi dan kekuatan akar umbi, kata penganalisis.

Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya (UM) berkata, jika parti yang bergabung itu kecil dan tidak signifikan dari sudut akar umbi, pembubaran mungkin hanya membawa nilai simbolik, bukannya strategik.

Awang Azman Pawi.

“Jika parti itu mempunyai kekuatan tempatan yang mantap misalnya mempunyai Adun, Ahli Parlimen atau akar umbi kukuh dalam kalangan pengundi Melayu atau di Sabah dan Sarawak, ia mampu memperkukuh pengaruh Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) di kawasan sasaran seperti luar bandar, Felda atau Sabah.

“Parti yang ingin bergabung dengan Bersatu boleh menjadi titik permulaan ke arah pengukuhan PN, namun impaknya bergantung kepada sejauh mana kekuatan parti tersebut. Jika sekadar parti ‘nyamuk’ atau kecil yang tidak signifikan, ia tidak lebih daripada publisiti murahan politik,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, pemimpin parti yang ingin bergabung dengan Bersatu juga perlu mempunyai personaliti berwibawa untuk menarik sokongan rakyat, bukan sekadar tokoh veteran dimamah usia.

Bagaimanapun, Azman tidak menolak Bersatu dan PN berisiko menghadapi perpecahan dalaman jika pemimpin parti tersebut hanya menyasarkan kerusi tertentu dalam pilihan raya.

“Isu perebutan kerusi tetap akan berlaku antara Bersatu dan PAS khususnya di kawasan marginal atau campuran. Jika tiada formula penyelesaian yang tuntas, penyatuan ini hanya bersifat kosmetik, bukan strategik,” katanya.

Katanya, bagi membina kekuatan menjelang PRU, Bersatu tidak boleh hanya bergantung kepada gabungan parti lain sebaliknya perlu menawarkan alternatif dasar yang meyakinkan rakyat seperti model ekonomi, pendekatan dalam pendidikan, digitalisasi, serta penyelesaian isu kos sara hidup.

“Bersatu dan PN juga perlu memperluas sokongan melangkaui teras Melayu Islam. Mereka perlu berani menyusun strategi menawan hati pengundi bandar, pengundi muda dan bukan Melayu, sama ada dengan menampilkan figura muda seperti Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, atau melalui sayap berbilang kaum,” katanya.

Jumaat lalu, Presiden Muhyiddin Yassin mendakwa ada parti bersedia untuk dibubarkan bagi menyertai Bersatu secara rasmi bawah pimpinannya.

Tanpa mendedahkan parti itu, Muhyiddin berkata perkembangan terbabit menunjukkan keyakinan terhadap Bersatu yang menjadi antara tonggak utama PN.

Ariff Aizuddin Azlan
Ariff Aizuddin Azlan.

Sementara itu, Ariff Aizuddin Azlan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) berpandangan, jika Bersatu mampu menggerakkan momentum seperti PRU lalu, maka parti yang ingin menyertainya akan memperoleh manfaat politik yang signifikan.

Katanya, ia sekali gus akan mengukuhkan lagi sokongan orang Melayu terhadap Bersatu.

“Parti pembangkang juga perlu menukar intonasi politik mereka dengan menerapkan naratif bebas perkauman dalam perjuangan. Jika ini berjaya disematkan, tidak mustahil Bersatu dan parti lain mampu menambat hati rakyat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.