
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam kenyataan memaklumkan inisiatif itu merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan kerajaan Madani untuk menyokong keperluan pembelajaran pelajar dan meringankan beban kewangan.
Ia juga bermatlamat bagi membudayakan amalan membaca dalam kalangan generasi muda, terutama mahasiswa serta merancakkan pertumbuhan ekonomi industri buku.
“KPT berharap semua pelajar yang layak dapat memanfaatkan baucar buku ini untuk menambah ilmu pengetahuan dan meningkatkan keupayaan diri, selaras fokus utama kementerian melahirkan bakat terbaik negara,” menurut kenyataan.
KPT memaklumkan, baucar itu boleh digunakan untuk pembelian buku akademik, bahan rujukan, bacaan ilmiah serta pelbagai lagi menerusi portal https://mysiswaplace.my/ (MySiswaPlace).
Platform sehenti itu menawarkan lebih sejuta judul bahan bacaan, termasuk buku fizikal dan e-book yang disediakan oleh lebih 250 rakan niaga digunakan untuk semakan kelayakan, penjanaan serta penebusan baucar dan pembelian bahan bacaan secara dalam talian sepenuhnya.
KPT turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim atas persetujuan kerajaan untuk meneruskan pelaksanaan inisiatif baucar buku RM100 kepada pelajar IPT warganegara Malaysia.