
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, berkata kerajaan sedar peningkatan cukai hanya akan membebankan rakyat, maka pendekatan penjimatan melalui peningkatan kecekapan dan mengurangkan ketirisan menjadi prinsip pentadbirannya.
“Jadi, sebelum kita fikirkan soal cukai kerana kadang-kadang ia membebankan rakyat, kita harus betulkan dulu kesilapan dalam pentadbiran kita.
“Kita harus fikir soal kerja kita dan sistem kita warisi yang sekarang ini kita tadbir…adakah ia cekap, dapat kawal ketirisan, rasuah atau penyeludupan?” katanya pada perjumpaan bersama warga Jabatan Perdana Menteri di sini.
Beliau berkata, jika kerajaan meneruskan momentum dalam mengurangkan perbelanjaan sekurang-kurangnya RM10 bilion setahun, penjimatan boleh mencecah hingga RM100 bilion dalam tempoh 10 tahun, yang boleh digunakan untuk membangunkan universiti serta menyediakan sistem kesihatan dan pendidikan lebih baik.
“Dalam masa dua tahun, kita selamatkan RM15.5 bilion…itu yang dapat dikesan, bayangkan yang tidak dikesan…jadi, kalau RM100 bilion dalam 10 tahun yang kita dapat ini…bayangkan universiti, pendidikan, klinik, sekolah dan kemudahan untuk anak-anak kita.
“Begitu banyak kemudahan dan kemungkinan untuk naik martabat negara kita sebagai negara yang kuat dan hebat.”
Jumaat lalu, Anwar mengumumkan Belanjawan 2026 dengan peruntukan berjumlah RM470 bilion dalam mengutamakan daya tahan ekonomi dan sokongan kepada perniagaan kecil di tengah-tengah ketidaktentuan global berterusan.
Belanjawan 2026 mengumpul dan mengoptimum sumber negara, termasuk dana GLIC (syarikat pelaburan berkaitan kerajaan), badan berkanun persekutuan serta syarikat MKD (Menteri Kewangan Diperbadankan) melalui perbelanjaan awam berjumlah RM470 bilion berbanding RM452 bilion tahun lepas.
Anwar yang juga menteri kewangan berkata, angka itu meliputi RM338.2 bilion belanja mengurus persekutuan, RM81 bilion belanja pembangunan persekutuan, RM30 bilion pelaburan GLIC, RM10 bilion pelaburan awam-swasta dan RM10.8 bilion pelaburan badan berkanun persekutuan serta syarikat MKD.