Uncle George, dermawan yang pantang menyerah kalah

Uncle George, dermawan yang pantang menyerah kalah

Dia tidak lokek berkongsi rezeki dengan gelandangan, setiap pagi dia pasti membawa sarapan nasi lemak buat mereka untuk mengisi perut yang lapar.

Uncle George, dermawan yang berhati mulia.
PETALING JAYA:
Dia bukan calang-calang. Dilihat dari mata kasar, dia hanyalah seorang pembuat kek dan pemilik kedai bakeri. Dia tidak kaya dan juga bukan jutawan. Tetapi dia adalah seorang dermawan, kaya dengan budi dan sifat penyayang.

Itulah George Alexander Fernandez, 56 atau lebih mesra dipanggil Uncle George. Seorang yang pemalu tetapi tangkas bila berada bersama gelandangan.

Dia tidak lokek berkongsi rezeki dengan gelandangan, setiap pagi dia pasti membawa sarapan nasi lemak buat mereka untuk mengisi perut yang lapar.

Ditanya mengenai inspirasi, Uncle George berkata, “Semuanya bermula apabila saya mendengar khutbah seorang paderi. Waktu itu saya berusia 20 tahun. Kumpulan paderi ini akan mengumpul dana untuk diperuntukkan kepada 70 buah keluarga. Dari situ saya mula menyertai mereka.

“Kemudian, saya mula mengumpul dana dengan memasak dan menjual “Hokkien mee”, mee hoon goreng, sandwich dan kopi. Saya juga menganjurkan aktiviti mencuci kereta dan menyelenggarakan konsert sewaktu Krismas untuk membeli uniform sekolah buat anak-anak yang kurang berkemampuan. Konsert tersebut merupakan acara tahunan yang dianjurkan selama 20 tahun,” jelas chef pastri ini.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Almarhum Sultan Abdul Halim, Sultan Kedah menganugerahkan pingat kepada Uncle George atas khidmat cemerlangnya dalam kerja-kerja kebajikan.

Menurut Uncle George lagi, membuat kek adalah minatnya sejak dari kecil lagi apabila mula membantu ibunya di dapur. Dia sedar, cita-citanya adalah untuk menjadi chef pastri. Kemudian ayahnya yang bekerja di “Cold Storage” turut menggalakkan dia menyertai syarikat tersebut sebagai pembuat kek.

Sedang menyediakan “cream puff”.

Bekerja di sana berikan dia keseronokan untuk menyerlah bakat semulajadinya namun langit tidak selalunya cerah. Pandemik Covid-19 melanda dan Uncle George adalah salah seorang mangsa yang terpaksa dibuang kerja.

“Di awal Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan, gaji saya dipotong sehingga 45%, kemudian saya diminta untuk meletakkan jawatan dan mereka hanya mampu membayar saya sebulan gaji.

“Saya berasa sangat-sangat kecewa kerana saya begitu sayangkan kerja ini. Selalunya saya habiskan sembilan jam setiap hari di sana. Tetapi itulah lumrah dan saya terima,” ujar Uncle George sebak.

Uncle George kecewa apabila hilang pekerjaan akibat pandemik Covid-19.

Namun, rezekinya tidak terhenti di situ. Seorang dengan hati yang luhur sepertinya selalu dibantu. Sinar cahaya kembali menerangi hidupnya apabila anak saudaranya Elvina Fernandez meluahkan idea agar dia mula membuat perniagaan “online” dengan nama “Uncle George Bakes”.

Bermula dengan kek popularnya, kek buah (tanpa alkohol), “cream puff”, tart telur dan puff tuna, Uncle George meneruskan langkah, tanpa berpaling dia terus berusaha memenuhi pesanan setiap hari.

Menu paling laris di Uncle George Bakes mengandungi tart telur, kek buah dan “cream puffs”.

Dalam hanya seminggu, pesanan mula membanjiri dan dia sendiri tidak percaya sambutan yang diterima begitu memberangsangkan sekali. Jumlah pesanan meningkat saban hari.

“Minggu lepas, kami menjual 200 kek buah dan itulah kek paling laris kerana harganya hanya RM15 untuk 500 gram. Saya tahu, sekarang ekonomi tidak begitu baik tetapi saya mahu semua orang merasa kek saya dan kerana itulah saya berikan harga yang mampu untuk semua,” ujarnya.

Kek paling laris Uncle George, kek buah yang dilimpahi dengan buah-buahan kering dan tidak mengandungi alkohol.

Selain Lembah Klang, dia turut menerima pesanan dari Penang, Melaka dan Seremban. Buat masa ini, Uncle George Bakes hanya menghantar pesanan pada hujung minggu kerana hari biasa adalah untuk membuat pesanan pelanggan.

Namun, walau sesibuk mana dia bekerja, Uncle George tidak pernah lupa kerja amalnya. Dia ingin berkongsi beberapa peratus dari pendapatan perniagaannya kepada dana untuk gelandangan.

Uncle George memberikan sarapan percuma kepada para gelandangan setiap pagi.

Setiap hari, dia akan bangun seawal 3 pagi dan akan ke Jalan Masjid India di mana dia dan rakannya akan memasak nasi lemak dengan sambal popularnya. Jam 6.30 pagi, bersama nasi lemak yang masih hangat, dia dan rakannya akan mengedarkan nasi lemak tersebut kepada gelandangan yang sedia menunggu.

Setelah semua edaran dibuat, pada lebih kurang jam 7.30 pagi, dia akan meluangkan masa bersama rakan-rakan gelandangan bertanya khabar. Mungkin ada yang perlu dirawat atau sekadar mendapatkan ubat.

Selain mengedarkan nasi lemak, Uncle George turut meluangkan masa bertanya khabar dengan para gelandangan.

Menurut Uncle George, dia berhasrat membuka pusat komuniti yang juga akan menjaga orang-orang tua, sebuah pusat sumber untuk kanak-kanak dan dapur untuk mengajar suri rumah membakar kek agar mereka mempunyai pendapatan tambahan.

Namun, impiannya terpaksa ditangguhkan berikutan dengan pandemik Covid-19. Walau bagaimana pun, dia tetap akan melunaskannya apabila pandemik ini berakhir.

Uncle George berharap dapat membuka pusat komuniti untuk mereka yang kurang berkemampuan.

Kepada mereka yang hilang sumber pendapatan akibat korona virus ini, Uncle George berpesan, “Jangan mengalah dan teruskan melangkah. Gunakan bakat yang ada dan percayalah, akan ada mereka di luar sana yang akan membantu dan menyokong usaha anda. Ia tidak mudah tetapi anda boleh lakukan. Yang penting, jangan pernah mengalah,” akhirinya.

Berikan sokongan kepada Uncle George, lakukan pesanan anda disini.

Uncle George Bakes kini menawarkan penghantaran percuma di Lembah Klang. (Gambar Facebook Uncle George Bakes)

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.