Hidup dalam mimpi ngeri: Ini kisah gelandangan di luar bank

Hidup dalam mimpi ngeri: Ini kisah gelandangan di luar bank

Safiudeen Pakkeer Mohamed dari Tamil Nadu mendapat perhatian media selepas klip video menunjukkan beliau dihina di laluan pejalan kaki di luar sebuah cawangan bank di Kuala Lumpur.

Safiudween
Tony Lian bersama Safiudeen Pakkeer Mohamed di sebuah pusat perlindungan gelandangan selepas warga asing itu dihina di luar sebuah cawangan bank.
KUALA LUMPUR:
Safiudeen Pakkeer Mohamed yang meninggalkan Tamil Nadu tahun lalu untuk memulakan kehidupan lebih baik di Malaysia tidak menyangka akan menjadi perhatian media kerana dihina ketika tidur di luar sebuah bank di sini.

Dia hanya berhasrat mencari rezeki untuk menyara isteri dan dua anaknya berusia 8 serta 11 tahun supaya keluarganya boleh keluar daripada kitaran kemiskinan.

Sebaliknya, lelaki berusia 39 tahun itu terpaksa tidur di laluan pejalan kaki, menahan lapar dan akhirnya dihina di luar sebuah cawangan bank, dengan ditendang dan disembur air.

“Jika mereka suruh saya pergi, saya akan pergi dengan senyap. Saya sangat lemah, lapar, tertekan dan murung,” kata Safiudeen kepada FMT sambil menangis menceritakan kisahnya.

Rakaman video kejadian itu membawa pengasas NGO, Tony Lian untuk tampil membantu Safiudeen dengan menempatkannya di rumah perlindungan kendaliannya.

Safiudeen berkata, beliau tiba di Malaysia Mac tahun lalu untuk bekerja di sebuah restoran di Sri Gombak, Kuala Lumpur, dengan gaji sederhana sebagai tukang masak.

Safiudween
Safiudeen Pakkeer Mohamed berkata pasportnya ditahan majikan.

Tetapi, majikan menahan pasport dan gajinya, kadangkala selama berbulan-bulan. Safiudeen mahu berhenti kerja, namun tidak dibenarkan atas alasan mereka masih memerlukannya. Beliau yang tidak mampu menanggung keadaan itu lagi, berhenti ke tempat kerjanya enam bulan lalu.

Katanya, beliau membayar RM3,500 untuk permit kerja dan RM1,200 bagi penjagaan kesihatan kepada majikannya. Bagaimanapun, tidak lama selepas mula bekerja, gajinya ditahan, kadangkala berbulan-bulan sehingga beliau tidak mampu mengirim wang kepada keluarganya.

Isterinya enggan percaya keadaan tragisnya apabila beliau berhenti menghantar wang. “Dia malah menyangka saya berkahwin lagi,” katanya.

Keadaan bertambah sukar apabila beliau tidak dapat berhenti kerja dan mencari pekerjaan lain kerana dokumen peribadinya dipegang majikan. “Ketika tiba di KLIA, bos restoran mengambil pasport saya dan saya tidak pernah melihatnya lagi.”

Mac lalu, gajinya dikurangkan selepas majikan membuat potongan sehingga RM1,800 atas alasan untuk memperbaharui permit kerjanya; namun Safiudeen berkata, tiada bukti permit itu diperbaharui.

Beliau turut dimaklumkan perlu membayar tiket penerbangan RM3,000 jika mahu pulang ke India, tetapi beliau tidak mampu.

Selepas berhenti ke tempat kerja, Safiudeen tiada tempat dituju dan terpaksa menumpang di rumah rakan-rakan, sehingga mereka enggan menerimanya lagi. Beliau tiada pilihan kecuali tidur di laluan pejalan kaki.

“Saya tiada makanan, tiada bumbung atas kepala. Ada yang kata kerana saya masih ada tangan dan kaki, maka saya boleh mencari kerja. Tetapi tanpa pasport, tiada siapa mahu ambil saya bekerja.”

Beberapa bulan selepas itu, Safiudeen terjumpa sebuah restoran berhampiran cawangan AmBank di Taman Maluri, Cheras, di mana pekerjanya sudi memberinya makanan. Untuk beberapa hari berikutnya, beliau memilih untuk tidur di luar bank berkenaan, sehingga ditendang dan disimbah air – insiden yang dirakam dalam video.

Lian, yang mengendalikan dua rumah perlindungan kecil untuk gelandangan dan tampil membantu Safiudeen, berkata perniagaan harus ingat nilai kemanusiaan, bukan keuntungan yang menentukan ciri-ciri sebuah negara.

Beliau menyeru masyarakat menunjukkan belas kasihan ketika berdepan gelandangan.

“Apabila anda melihat gelandangan di luar premis anda, demi Tuhan jangan lakukan apa yang telah dilakukan terhadapnya,” kata Lian sambil menambah perniagaan boleh menghubungi NGO untuk membantu golongan itu.

Lian yang dikenali ‘Uncle Tony’ berkata, beliau akan meminta majikan Safiudeen memulangkan pasport dan dokumen lain miliknya serta berhasrat mengumpul dana untuk membayar hutang ditanggungnya.

Selepas melalui pelbagai penderitaan, Safiudeen tidak berdendam atau marah. “Saya mahu pasport saya. Saya hanya mahu bekerja,” katanya sambil menangis.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.