Gelandangan dihina di luar bank pulang ke India

Gelandangan dihina di luar bank pulang ke India

Tony Lian yang menyelamatkan Safiudeen Pakkeer Mohamed, berkata majikan lelaki itu setuju bayar tunggakan gaji dan beli tiket pulang.

Tony Lian and Safiudeen Pakkeer Mohamed
Tony Lian dan Safiudeen Pakkeer Mohamed di Suruhanjaya Tinggi India di Kuala Lumpur.
PETALING JAYA:
Pekerja asing yang juga gelandangan, Safiudeen Pakkeer Mohamed yang menjadi perhatian media selepas dihina kerana tidur di kaki lima sebuah bank di Kuala Lumpur, dijadual pulang ke kampung halamannya di India pada malam esok.

Pengasas dua pusat perlindungan gelandangan, Tony Lian berkata Safiudeen kini ditempatkan di sebuah pusat perlindungan yang dikendalikan Suruhanjaya Tinggi India di Kuala Lumpur.

“Penerbangan Safiudeen dijadual esok malam,” kata Lian kepada FMT.

Beliau berkata Jabatan Tenaga Kerja dan polis telah menemubual Safiudeen, 39, awal hari ini.

“Ia satu proses siasatan yang panjang, kira-kira tiga jam,” katanya.

Selepas siasatan, Lian membawa Safiudeen ke suruhanjaya tinggi untuk mengaturkan satu pertemuan dengan majikannya.

“Saya bertemu majikan dan pegawai suruhanjaya. Dalam pertemuan itu, majikan bersetuju menyelesaikan tunggakan gaji Safiudeen secara baik dan membelikan tiket pulang untuknya,” katanya.

FMT sudah menghubungi Jabatan Tenaga Kerja untuk mengesahkan sama ada majikan itu akan dikenakan tindakan.

Safiudeen mendapat simpati orang ramai, selepas satu video menunjukkan beliau disembur air oleh seorang pengawal keselamatan dan ditendang seorang lelaki di luar sebuah bank.

Video itu yang tular mencetuskan kemarahan pengguna di media sosial.

Lian kemudiannya datang menyelamatkan Safiudeen dan membawa lelaki itu ke pusat perlindungannya.

Dalam wawancara bersama FMT pada 25 Nov, Safiudeen, dari Tamil Nadu, berkata beliau datang ke Malaysia pada Mac tahun lalu mencari kehidupan lebih baik.

Safiudeen tidak pernah menyangka akan menjadi perhatian media — bukan kerana kerjanya, tetapi kerana dihina hanya tidur di luar sebuah bank.

Lian dan sekumpulan kecil sukarelawan turut mengumpul dana bagi membantu Safiudeen membina semula kehidupannya sebaik kembali ke India.

“Kami sudah mengumpul dan menyumbangkan wang itu, dan ia akan disalurkan melalui suruhanjaya tinggi. Mereka akan menghantar wang tersebut kepadanya,” kata Lian sambil menambah beliau akan terus berhubung dengan isteri Safiudeen.

Safiudeen berkata beliau bekerja di sebuah restoran di Sri Gombak, dengan gaji kecil sebagai tukang masak. Namun, beliau mendakwa majikannya menahan pasport dan gajinya, kadangkala selama berbulan-bulan. Ini menyebabkan beliau tidak dapat menghantar wang ke keluarganya.

Katanya lagi, beliau mahu berhenti kerja, namun tidak dibenarkan majikan berbuat demikian.

Menurutnya, majikan restoran itu mengambil pasportnya sebaik sahaja beliau tiba di Kuala Lumpur, menyebabkan beliau tidak boleh mencari pekerjaan lain.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.