
Ternyata, menerbitkan karya pertama, terutamanya bagi mereka yang masih hijau dalam bidang penulisan, tidak ubah seperti satu perjuangan yang tiada kesudahannya.
Penerbit sering keberatan untuk memberi peluang kepada penulis yang belum teruji kebolehpasarannya; yang hanya terbukti melalui penerbitan sesuatu naskhah.
Akibatnya, ramai penulis berbakat besar akhirnya lebih rela berundur setiap kali berdepan mimpi ngeri birokrasi ini.
Bagi yang tidak berpuas hati dengan keadaan ini, mereka secara aktif mengusahakan sesuatu yang diluar kotak pemikiran hingga mencapai kejayaan ketika ia dianggap mustahil.
Charissa Ong, 29, adalah antara figura yang telah menjadi pencetus inspirasi dalam dunia penulisan tempatan, dengan reputasi keberanian luar biasanya.
Selepas kerap ditolak syarikat penerbitan, dia memutuskan satu-satunya insan yang boleh diharapkan adalah dirinya sendiri dengan menubuhkan syarikat penerbitannya sendiri, Penwings.
Di sebalik risiko, Ong mengatur langkah tepat apabila buku pertamanya, Midnight Monologues, menjadi finalis Anugerah Buku Antarabangsa 2017.
Buku kedua, Daylight Dialogues juga berada dalam senarai Jualan Terbaik Fiksyen MPH, sekali gus mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai pengarang berjaya.
Enggan membiarkan imaginasinya terbiar, baru-baru ini Ong menerbitkan buku ketiga, koleksi puisi bertajuk, “What Does Your Name Mean?”

Tidak melupakan pengalamannya sebagai pengarang baru, Ong turut menyokong pengarang tempatan dengan menerbitkan karya oleh penulis yang masih hijau namun berpotensi besar.
Dengan senarai kejayaan demi kejayaan yang diraihnya, ramai tidak mengetahui bahawa wanita hebat ini perlu mengimbangi dua kerjaya lain, iaitu sebagai penerbit dan seorang pereka digital.
Ketika meluangkan masa bersama FMT berkongsi kisah perjalanannya, jelas laluan sukar itu telah membentuk dirinya kini.
“Ketika berumur 17 tahun, saya sebenarnya benci membaca, benci apa sahaja yang ada kaitan dengan perkataan. Saya hanya mula serius menulis selepas berpisah dengan teman lelaki di kolej,” katanya.
Berbekal rasa kecewa, Ong mula menyelami keajaiban buku pelbagai genre untuk meredakan kekecewaan dan mula menulis cerita untuk meluahkan perasaannya.
Cukup meminati genre Fantasi dan sci-fi, dia menamakan Yuval Harari, pengarang buku “Sapiens”, sebagai pengarang kegemarannya.
Rakan-rakan yang membaca tulisannya bertanya sama ada dia akan mempertimbangkan untuk menerbitkannya, dan walaupun kurang pengetahuan tentang selok-belok penerbitan, dia tekad bertindak lebih awal.
Ong berjaya mendekati beberapa penerbit, yang terus terang memintanya untuk tidak mengharapkan kejayaan di Malaysia. Kata mereka, ‘Jangan meletakkan harapan anda terlalu tinggi. Rakyat Malaysia tidak membaca sangat.’
Di sebalik permulaan yang mengecewakan ini, Ong tetap terus menghantar e-mel kepada ramai penerbit dengan harapan seseorang akhirnya akan melihat merit dalam karyanya.

Selepas terlalu kerap ditolak, dia akhirnya dinasihatkan oleh penerbit untuk menerbitkan bukunya sendiri, nasihat yang disahut dengan nekad.
Akhirnya, pada tahun 2016, Penwings ditubuhkan, disusuli rentetan pelbagai komplikasi, termasuk soal kewangan.
“Semuanya dari poket saya sendiri,” ceritanya tentang Penwings. “Apa sahaja yang saya perolehi daripada pekerjaan lain, saya laburkan untuk Penwings.”
Apa yang cukup mengagumkan, walau baru di tahun pertama, perolehan dan kerugiannya adalah setara, malah apa yang lebih penting lagi, buku pertamanya meraih kejayaan komersial yang sejak itu terjual hampir 30,000 unit.
“Ketika itu, saya hanya mahu sesuatu yang boleh dibanggakan,” kenangnya. “Saya tidak gembira dengan diri saya sebelum itu.”
Fobia dengan pengalaman berulang kali ditolak syarikat penerbitan yang masih segar di fikiran, Ong yang didorong oleh kejayaannya, ingin memastikan dia tidak akan menolak karya mereka yang senasib dengannya.
Selain itu, dia berharap dengan memperkenalkan pengarang baharu di pasaran, lebih ramai rakyat Malaysia mungkin mendapat inspirasi untuk mengamalkan tabiat membaca.
“Saya benar-benar mahu meningkatkan jumlah pembaca serta karya berkualiti yang keluar dari Malaysia. Saya berharap kita dapat meletakkan Malaysia sebagai teraju di persada sastera antarabangsa,” katanya.
Dia juga percaya, dengan membenarkan lebih ramai penulis berbakat berkongsi pandangan mereka melalui penulisan, akan turut menyumbang kepada Malaysia yang lebih baik.
“Jika anda menulis dari sudut pandangan orang lain, kami akan lebih bertolak ansur. Dengan lebih bertoleransi, kita akan meraih kedamaian. Begitulah cara saya melihatnya,” ujar Ong.

Walaupun dia membantu calon pengarang meningkat naik untuk menerbitkan karya mereka, Ong menetapkan beberapa kriteria sebelum ia layak diterbitkan.
Asas tatabahasa dan bahasa diberikan, begitu juga plot dan watak yang boleh difahami pembaca. “Kualiti adalah keutamaan tertinggi saya; Saya tidak menerbitkan buku hanya untuk kepentingan wang.”
“Ia perlu mempunyai keupayaan untuk mengubah perspektif. Jika ia mampu mencabar idea manusia tentang perkara yang betul dan salah, saya akan menerbitkannya,” tuturnya lagi.
Dia juga kadang-kala menerima manuskrip ganjil yang berfungsi dengan baik sebagai skrip komedi yang tidak disengajakan.
“Pengarang seumpama sedang berseronok dengan tesaurus. Saya sama sekali tidak dapat memahami seluruh perenggan. Setiap perkataan digantikan dengan perkataan yang digunakan pada tahun 1920-an!”
Selain insiden-insiden lucu ini, Ong tetap optimis tentang masa depan pembaca dan penulisan di Malaysia.
“Buat masa ini, komuniti pembaca Malaysia semakin berkembang dari hari ke hari dan saya sangat gembira dengan perkembangan ini. Mereka juga menerbitkan karya mereka sendiri!”
Menurut Ong, rakyat Malaysia menggemari fiksyen, terutamanya yang mempunyai latar belakang dystopian dan sci-fi, serta percintaan.
Jadi, apa rancangan Ong seterusnya? Selain menerbitkan beberapa karya tahun hadapan, dia sedang mencari buku untuk diedarkan ke pasaran antarabangsa.
Apabila ditanya apakah yang perlu diberi perhatian oleh seorang calon pengarang berbakat, jawabnya: “Buat saja. Jangan takut. Jangan gentar, cuba apa sahaja yang anda mahu cuba. Siapa tahu apa yang akan terhasil daripadanya, kan?”
Ingin naskhah ada diterbitkan? Atau sekadar menyelak buku? Singgah di laman penwings.com untuk melihat apa yang sedang ditawarkan!
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]